Kota Kinabalu : Sebanyak 100 tan sampah berjaya dilupuskan di seluruh kawasan awam, pasar awam, laut dan kampung kawasan kepulauan sekitar bandaraya Kota Kinabalu sempena pelaksanaan program ‘KK Cleanup Day 1.0’ di sini semalam.
Program anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu turut disertai lebih 5,000 peserta terdiri dari penduduk kampung dan pelbagai agensi Kerajaan, agensi bukan Kerajaan serta institusi pengajian tinggi dan pengusaha premis komersial.
Pelaksanaan program itu meliputi beberapa komponen antaranya pembersihan kawasan awam; pembersihan kawasan pasar; pembersihan perairan laut dan pembersihan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah ketika berucap merasmikan program itu berkata, ‘KK Cleanup Day’ bukan sekadar sebuah program, tetapi satu manifestasi kepada nilai dan tanggungjawab penduduk sebagai warga bandaraya.
Katanya, sejak dilancarkan pada tahun 2021, program itu telah menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan.
“Sebagai contoh, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 221 tan sampah telah berjaya dilupuskan dari kawasan kepulauan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
“Kehadiran anda semua adalah bukti nyata bahawa semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial masih kukuh dalam kalangan masyarakat kita. Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program yang sangat bermakna ini,” katanya.
Pada program itu, sebanyak 40 unit jentera berat telah digerakkan termasuklah lori; kompaktor; trak terbuka; tangki air; skylift; skimmer boat; dan bot pengangkutan sampah. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH