Kota Kinabalu : Daerah Keningau diklasifikasikan semula sebagai zon merah iaitu zon terjangkit selepas satu kes demam babi afrika (ASF) pada 7 Januari lalu melibatkan seorang penternak khinzir.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, virus itu menjejaskan 12 daripada 20 khinzir yang dipelihara penternak terbabit.
Katanya, pelupusan dan kawalan pergerakan khinzir di ladang tersebut telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Wilayah Keningau.
Penemuan ini menjadikan daerah Keningau bertukar semula status daripada zon hijau (Zon Pemulihan) kepada zon merah (Zon Terjangkit).
“Penemuan ini menjadikan daerah Keningau bertukar semula status daripada zon hijau (Zon Pemulihan) kepada zon merah (Zon Terjangkit).
“Berdasarkan siasatan lapangan, ternakan babi tersebut menunjukkan tanda-tanda klinikal seperti kurang selera makan, lemah, hidung berair dan akhirnya mati. Sampel telah diambil, diuji dan keputusan makmal adalah positif terhadap penyakit ASF,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian,Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, tindakan kawalan pantas telah diambil oleh pihak DVS selaras dengan arahan di bawah Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015.
Katanya, ia termasuklah dengan mengenakan sekatan kawalan pergerakan khinzir dan produk khinzir daripada daerah Keningau.
“Selain itu, servalens aktif dan pasif juga dipertingkat di seluruh Sabah bagi memastikan penyakit ini tidak menular dan para penternak dinasihatkan untuk mempertingkat biosekuriti ladang dan kandang menternak.
“Para penternak babi dilarang memberi sisa buangan dapur yang tidak dimasak semula kepada ternakan babi dan melawat kandang atau ladang yang berpenyakit
“Penternak dinasihatkan tidak membeli khinzir hidup ataupun daging khinzir daripada sumber yang tidak diketahui tahap kesihatan ternakannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ASF adalah penyakit yang disebabkan oleh kuman Asfvirus dan ia menjangkiti khinzir melalui sentuhan secara langsung dengan khinzir yang berpenyakit ASF dan juga secara tidak langsung melalui sentuhan dengan perkakasan atau pengendali yang tercemar dengan kuman ASF.
Katanya, orang awam terutama para penternak dan pengusaha ladang babi adalah dinasihatkan untuk melaporkan kejadian khinzir sakit atau mati berterusan kepada mana-mana pejabat DVS terdekat untuk tindakan segera agar penyakit dapat dibendung dengan kadar segera.
“Kementerian melalui DVS juga memaklumkan bahawa bekalan daging khinzir menjelang perayaan Tahun Baru Cina adalah mencukupi dari ladang khinzir tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya.
Terdahulu Keningau telah diisytihar sebagai daerah dijangkiti ASF pada 1 Julai 2021. Buat masa ini, tiada kes terbaru dikesan pada khinzir hutan.
Semua ladang khinzir komersil di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang juga masih bebas penyakit ASF.
Sekali lagi diingatkan bahawa ASF hanya menjangkiti ternakan khinzir sahaja dan tidak bersifat zoonotik (ASF bukan penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia). Oleh itu masyarakat tidak perlu risau akan kesan ASF terhadap kesihatan manusia. – SABAH MEDIA