Kota Kinabalu : Kerajaan negeri akan sentiasa berganding bahu bersama dengan Kerajaan Persekutuan dalam melahirkan insan yang berkualiti.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pendidikan merupakan komponen utama yang digariskan Kerajaan negeri Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, menerusi hala tuju itu ianya menggariskan tiga teras utama sebagai panduan pelan pembangunannya, dan salah satunya ialah pembangunan modal insan.
“Kita sedar, bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkualiti, kita perlu memartabatkan pendidikan.
“Bagi merealisasikan teras modal insan dan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri Sabah mengambil inisiatif untuk memberi beberapa jenis bantuan khusus kepada anak-anak Sabah yang masih bersekolah di peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT awam serta swasta.
“Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan beberapa lagi bantuan seperti bantuan alat tulis, buku latihan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Sabah bagi tahun 2025 di sini semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Ruji Ubi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, selain bantuan yang disediakan, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) juga menyediakan pinjaman dan biasiswa dalam dan luar negara yang memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak Sabah untuk meneruskan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi.
Katanya, Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah kewangan yang besar bagi pembangunan modal insan berteraskan pendidikan STEM, pengendalian kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal, perdagangan dan TVET.
“Terkini, TPNS telah meluluskan bantuan cermin mata kepada 4,000 orang murid yang berkeperluan melalui program TPNS – “Life In My Eyes” yang juga menyokong Program WeHelp JPNS,” katanya. – SABAH MEDIA