KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah memulakan tindakan undang-undang bagi menangani tuduhan salah laku dan pecah amanah yang melibatkan bekas kakitangan serta pihak luar.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sektor perlombongan di negeri itu telah memfailkan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan penipuan, pelanggaran tugas fidusiari, dan pencabulan kerahsiaan.
Dalam satu kenyataan malam ini, SMM menyatakan bahawa tindakan tersebut juga bertujuan menangani gangguan terhadap dokumen rasmi, konspirasi untuk mencederakan dengan cara yang menyalahi undang-undang, serta potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga.
Tindakan itu menyasarkan beberapa bekas pekerja, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM, Jontih Enggihon @ Jontih Inggihon, dan individu lain, Tei Jiann Chieng, yang turut dikenali sebagai Albert Tei.
“Langkah ini diambil untuk melindungi kepentingan syarikat, kerajaan negeri, dan rakyat Sabah. SMM akan terus menegakkan piawaian tadbir urus korporat yang tinggi serta bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa laporan berkenaan salah laku bekas CEO syarikat itu dan potensi kolaborasi tidak sah dengan pihak ketiga telah dikemukakan kepada pihak berkuasa.
Laporan itu, termasuk kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertujuan menyokong penyiasatan meluas serta memastikan kepatuhan kepada undang-undang.
“Kami komited untuk menegakkan integriti, akauntabiliti, dan ketelusan dalam menguruskan sumber mineral Sabah, serta memastikan semua operasi dijalankan mengikut undang-undang dan piawaian etika,” tambah kenyataan itu.
Jontih dan Albert masing-masing telah diserahkan notis undang-undang di Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu.