HomeIsu tempatanUMS tuan rumah persidangan antarabangsa BRC kali ke-15

UMS tuan rumah persidangan antarabangsa BRC kali ke-15

Read Time:2 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi Persidangan Antarabangsa Borneo Research Council (BRC) Kali Ke-15 yang menghimpunkan ahli-ahli akademik dan penyelidik dalam dan luar negara bagi membincangkan pelbagai aspek Kajian Borneo.

Majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Beliau dalam ucapannya berkata, BRC telah secara konsisten menyokong dan mempromosikan penyelidikan dalam bidang sains sosial, biologi, alam sekitar dan perubatan di Borneo sejak penubuhannya pada tahun 1968.

“Pemilihan UMS sebagai tuan rumah persidangan tahun ini menegaskan komitmen universiti ini dalam memajukan pengetahuan tentang kepulauan Borneo.

“Kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, mempunyai kepentingan strategik di Asia Tenggara dan terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti serta ciri-ciri geologi yang unik, termasuk Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di rantau ini.

“Pulau ini telah menjadi pusat migrasi dan pembangunan sosial manusia selama ribuan tahun, dengan Borneo Utara, yang kini dikenali sebagai Sabah, dipercayai sebagai titik penyebaran utama bagi masyarakat Austronesia,” katanya.

Beliau menambah, kajian linguistik, terutamanya yang dijalankan oleh Summer Institute of Linguistics (SIL) Malaysia sejak tahun 1970-an, telah mengenal pasti 58 bahasa Austronesia utama yang dituturkan di bahagian utara Borneo, dengan lebih daripada 35 bahasa berasal dari Sabah.

“Bahasa-bahasa ini, termasuk Dusun, Paitan, dan Murut, adalah unik di rantau ini dan telah menjadi subjek penyelidikan genetik dan linguistik yang luas di UMS,” katanya.

Jeffrey turut menekankan kepentingan pengetahuan tradisional dalam amalan kelestarian alam sekitar, dengan mengambil kaedah pertanian sawah padi oleh masyarakat Dusun di Tambunan sebagai contoh utama.

“Varieti padi tradisional di rantau ini, yang terkenal dengan ketahanan dan hasil tinggi, telah ditanam selama beberapa generasi tanpa memerlukan baja kimia atau racun perosak.

“Walaupun menghadapi cabaran seperti penurunan populasi kerbau, petani masih mengekalkan amalan pertanian ini.

“Selain itu, sistem pemuliharaan sungai pribumi yang dikenali sebagai “bombon” dalam kalangan Dusun dan “tagal” dalam kalangan Rungus juga telah diiktiraf sebagai pendekatan tradisional yang berkesan dalam kelestarian alam sekitar.  

“Sistem ini, yang melibatkan larangan menangkap ikan dalam kawasan tertentu, telah diintegrasikan dalam usaha pemuliharaan moden dengan sokongan kerajaan Sabah sejak tahun 2003,” jelas beliau.

Justeru katanya, penganjuran persidangan tersebut mampu menjadi platform terbaik membincangkan lebih lanjut berkaitan warisan dan tradisional masyarakat Borneo, serta menyokong usaha UMS yang telah memainkan peranan penting dalam menjalankan penyelidikan ke atas artifak budaya dan menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai warisan di Borneo.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, fokus utama penyelidikan di UMS adalah berkaitan dengan aspek sosial, biologi, alam semula jadi dan sains perubatan di Borneo, khususnya di Sabah.

“Sejajar dengan itu, UMS telah dikenali sebagai pusat rujukan serantau dalam bidang penyelidikan Borneo.

“Objektif penyelidikan di UMS adalah selari dengan matlamat BRC, oleh itu saya berasa amat gembira kerana UMS sekali lagi terpilih sebagai tuan rumah persidangan ini,” katanya.

Beliau turut berharap agar semua pembentang dan peserta mendapat manfaat daripada persidangan tersebut melalui perbincangan yang produktif, interaksi yang bermakna, serta perkongsian inspirasi dan penemuan baharu.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk hampir 40 peserta antarabangsa dari negara Jerman, Amerika Syraikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Singapura, dan Brunei Darussalam.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia rampas lebih 70,000 batang rokok putih tidak bercukai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular