HomeUtamaKembar seiras antara 53 finalis Unduk Ngadau 2026

Kembar seiras antara 53 finalis Unduk Ngadau 2026

Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Adik-beradik kembar seiras menjadi antara finalis yang mencuri tumpuan dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat negeri tahun ini.

Caesyzizi Liakim dan Candycyci Liakim, 25, dari Kampung Kawiyan Ulu Sugut, Ranau, fasih bertutur dalam bahasa Dusun dan berjaya mara ke peringkat negeri menerusi daerah berbeza.

Caesyzizi mewakili Lahad Datu manakala Candycyci pula mewakili Paitan.

Unduk Ngadau Lahad Datu, Caesyzizi Liakim

Caesyzizi yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sabah berkata, penyertaannya dalam UNK pada awalnya bertujuan membina keyakinan diri terutama ketika bercakap di hadapan khalayak ramai.

“Melalui UNK, saya sedar peserta bukan dinilai dari segi kecantikan sahaja. Pengetahuan budaya, cara pembawaan diri dan sikap juga sangat penting.

“Kemenangan bukan fokus utama saya. Peluang untuk membawa dan memperkenalkan budaya kami dengan bangga itu lebih bermakna,” katanya yang pernah menyertai pertandingan UNK di Beluran dan Paitan tahun lalu.

Unduk Ngadau Paitan, Candycyci Liakim

Sementara itu, Candycyci yang merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris berharap lebih ramai wanita muda yang masih boleh bertutur dalam bahasa ibunda tampil menyertai Unduk Ngadau.

“Ini adalah salah satu cara untuk memelihara dan memperkenalkan budaya kita,” katanya yang julung kali menyertai pertandingan UNK.

Ketika ditemui, Caesyzizi memakai pakaian tradisi “Sabung Miglap Toko” etnik Dusun Subpan dari Lahad Datu, manakala Candycyci mengenakan “Sabung Impit Sandayo” berwarna biru daripada etnik Sandayo di Paitan.

Sabung Miglap Toko merupakan pakaian tradisi berwarna hitam yang menampilkan hiasan bermotifkan ikatan rotan pada ‘lungun’, iaitu kayu balak yang dikenali sebagai ‘giraut’.

Antara motif yang digunakan termasuk ‘ikuk lisis’, ‘pusod bulanak’, ‘ambilad’, ‘takurung’ dan ‘sakurung’, manakala seni sulamannya menggunakan corak ‘sulampid’, ‘akod lipan’ dan ‘susukon’.

Manakala Sabung Impit Sandayo berwarna biru atau ‘bilu’ dalam bahasa Sandayo lazimnya dipakai oleh golongan yang mempunyai kedudukan dan dihormati dalam masyarakat pada zaman dahulu seperti ketua kampung (tutuo), isteri ketua kampung, Boliyan (bobolian), bidan kampung (pandai) serta anak-anak mereka.

Pakaian tradisi itu dijahit dan disulam hampir 95 peratus secara tangan menggunakan pelbagai jenis corak yang diinspirasikan daripada alam semula jadi seperti ‘Tombir Pinusuk Rabung’ (corak rebung buluh), ‘Tombir Ontilas’ (jahitan motif bunga) dan ‘Tombir Tinulang Gomutan’ (corak tulang ikan keli).

Sabung Impit Sandayo biasanya dipadankan dengan aksesori tradisi seperti ‘Taboi’ (tali pinggang syiling perak), ‘Torot’ (tali pinggang cincin tembaga), ‘Tinggol’ (rantai leher), ‘Simbar’ (anting-anting), ‘Lungkaki’ (gelang kaki tembaga), ‘Kurusang’ (kerongsang syiling) dan ‘Golong Sulou’ (gelang daripada kulit siput).

Ditanya siapa yang lebih cantik antara mereka, Candycyci berseloroh: “Kami berdua sama cantik.”

Menurut Candycyci wajahnya sedikit lebih bulat dan mempunyai satu tahi lalat di pipi kiri, manakala kakaknya memiliki wajah lebih tirus serta dua tahi lalat di pipi kiri.

Seramai 53 finalis termasuk penyertaan sulung Daerah Kecil Sukau akan bersaing merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada pertandingan akhir peringkat negeri yang berlangsung pada 31 Mei ini.

Pemenang tahun ini bakal membawa pulang wang tunai RM15,000 selain tajaan pendidikan, pakej saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah lain daripada penaja.

Selain memperingati pengorbanan Huminodun, pertandingan Unduk Ngadau turut menjadi platform untuk memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya.

RELATED ARTICLES
Utama

Umat Islam diajak hayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular