KOTA KINABALU: Seramai 50 pelajar menyertai Program Citra Orator 2.0 yang dianjurkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran, baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad sesi 2025/2026 itu bertujuan memperkasa kemahiran komunikasi, kepimpinan dan perkongsian ilmu secara terbuka dalam kalangan pelajar.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga menerusi pelbagai aktiviti berkaitan orator, komunikasi berkesan dan pembangunan sahsiah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Penyelaras Aktiviti Menengah SK Bawang K9, Frediza Thesila Saimon yang mewakili Guru Besar sekolah itu, Freddy Maginjoh.
Menurut Frediza, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan teknik komunikasi berkesan, malah membantu memperkukuh kemahiran insaniah seperti kerjasama, kepimpinan dan kecerdasan emosi.
“Pendekatan program ini yang mengintegrasikan elemen kesukarelawanan dan kepekaan sosial turut memberi nilai tambah kepada pelajar dalam membentuk jati diri, semangat tanggungjawab dan nilai empati.
“Saya percaya pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini akan memberi impak positif kepada para pelajar, bukan sahaja dalam konteks pembelajaran, tetapi juga dalam pembentukan sahsiah dan jati diri yang lebih mantap,” katanya.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang bagi membolehkan lebih banyak pengisian dijalankan.
Selain memperkukuh kemahiran insaniah, program itu turut menerapkan elemen kesukarelawanan apabila mahasiswa membantu warga sekolah yang terjejas akibat banjir teruk pada Februari lalu.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk kerja pembersihan kawasan sekolah, pembangunan semula perpustakaan sekolah serta sokongan moral kepada warga sekolah yang terkesan akibat bencana itu.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Penampang dan Cawangan Tanjung Aru melalui sumbangan bahan bacaan bagi membantu pembangunan semula perpustakaan sekolah berkenaan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen mahasiswa UMS dalam menyantuni masyarakat luar bandar melalui pendidikan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.



