KOTA KINABALU : Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima China Ambassador Scholarship 2026 dalam majlis ‘The 6th Chinese Bridge and China Ambassador Scholarship Award Ceremony’, yang berlangsung baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Kaunselor Pendidikan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Zhao Changtao sebagai wakil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT), Ouyang Yujing.
Ia merupakan bentuk penghargaan terhadap kecemerlangan akademik, kepimpinan serta potensi pelajar dalam memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

Menurut Ouyang, penubuhan China Ambassador Scholarship di UMS mencerminkan kerjasama pendidikan yang semakin erat antara kedua-dua negara selain menjadi medium penting dalam memperluas pertukaran budaya dan hubungan rakyat.
“Biasiswa ini bertujuan menggalakkan pelajar cemerlang Malaysia untuk terus maju dalam akademik dan pembangunan sahsiah, di samping membentuk kompetensi profesional serta visi global.
“Program Chinese Bridge turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh persefahaman antara generasi muda Malaysia dan China menerusi penguasaan bahasa dan pertukaran budaya,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Zhao pada majlis berkenaan yang berlangsung di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata majlis tersebut bukan sekadar meraikan kecemerlangan akademik, tetapi turut melambangkan hubungan bilateral yang kukuh antara Malaysia dan Republik Rakyat China.
“Kerjasama antara UMS dan Kedutaan China di Malaysia terus membuka peluang lebih luas kepada pelajar dalam aspek pembangunan akademik, pengantarabangsaan dan penglibatan silang budaya.
“Kejayaan para penerima biasiswa ini membuktikan komitmen dan dedikasi mereka dalam mencapai kecemerlangan, sekali gus berpotensi menjadi generasi yang memperkukuh hubungan Malaysia-China pada masa hadapan,” katanya
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi.
Antara penerima biasiswa tersebut ialah Gayvin Rodell Lawkan dan Tasha Latabu dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan; Lim Yong Tuck dan Phang Xin Yen dari Fakulti Sains dan Teknologi; serta Vanessa Eve Balton dari Fakulti Perubatan dan Kesihatan.
Turut menerima biasiswa ialah Sia Hoe Jia, Mohd Hafiz Aftab Jimmy, Irene Caroline Ipal dan Salina Ibrahim dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.
Selain itu, Marlene Lai Meijyn, Teoh Kai En, Liana Syafiera Lai Chiu Hiung dan Maniemalar Moneyual dari Fakulti Komputeran dan Informatik turut tersenarai sebagai penerima.
Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan pula menyumbang lima penerima iaitu Putri Noratiqah Syakirah Awang Said, Samantha Sia Wan Ling, Thanusha Ganesh, Tamilarasi Selvaraju dan Amira Nurfarzanah Mohd Firdaus Hafiz Chan.
Dua lagi penerima ialah Dwell Thomes dan Rayner Chia Sin Rong dari Fakulti Kejuruteraan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan penganjuran The 6th Chinese Bridge Competition yang menghimpunkan peserta berbakat dalam penguasaan bahasa dan budaya Mandarin, sekali gus memperkukuh hubungan pendidikan serta pertukaran budaya antara Malaysia dan China.



