Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Seramai 142 bakal jemaah haji daripada Sabah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan KT77 malam ini.
Bakal jemaah haji itu merupakan kumpulan pertama daripada Sabah yang akan bertolak ke Tanah Suci pada jam 4.45 pagi pada Selasa menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines.

Majlis pelepasan bakal jemaah haji itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Mohamed Ameen S.M.A Abdul Wahab.
Hadir sama pada majlis pelepasan itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nurlaila Said.

Terdahulu, Mohamed Ameen ketika berucap berkata, penerbangan bakal haji hari ini merupakan penerbangan ke-77 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji yang disediakan untuk membawa seramai 31,600 bakal haji seluruh Malaysia pada tahun ini.
Katanya, penerbangan bakal haji dari Sabah ini akan bergabung dengan bakal haji dari Kuala Lumpur seramai 142 orang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 284 orang.
“Mereka akan berlepas daripada KLIA menaiki pesawat MH8150 dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8.40 pagi keesokan harinya waktu Arab Suadi pada hari yang sama,” katanya.

Mohamed Ameen berkata, para jemaah haji negara dinasihat agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Beliau berkata, ia termasuklah peraturan-peraturan yang digariskan oleh TH yang bertujuan bagi menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji.
“Saya juga berharap semua jemaah akan terus mendoakan keamanan negara serta dunia, agar operasi haji dapat berjalan dengan lancar, demi kesejahteraan semua jemaah haji, Insya- Allah.
“Saya mendoakan semua jemaah haji negeri Sabah diberikan kemudahan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, dapat melaksanakan semua rukun dan wajib haji dengan sempurna,” katanya.
Penerbangan pertama bakal haji Sabah itu merupakan antara 1,195 orang bakal-bakal haji negeri ini dan Wilayah Persekutuan Labuan yang terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini. – SABAH MEDIA / FOTO ALEXTER ROSALIA



