KOTA KINABALU: Seorang peserta Borneo International Marathon kategori 42 kilometer cedera ringan selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika acara larian itu berlangsung di Jalan UMS, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kemalangan jalan raya itu pada 10 Mei 2026 kira-kira jam 3.30 pagi.
Menurutnya, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang sedang menyertai acara marathon berkenaan dan berlari di laluan kiri jalan yang dikhaskan untuk peserta.
“Hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun telah melanggar mangsa dari arah belakang ketika mangsa berada di KM32 Jalan UMS menghala ke Likas.
“Selepas pelanggaran berlaku, kenderaan terbabit dipercayai terus bergerak sebelum terbabas berhampiran Petronas Jalan Tuaran Bypass,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, lutut dan belakang leher sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Katanya, pemandu kenderaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat kon keselamatan dipasang di lorong kiri jalan sebagai pemisah laluan peserta marathon dan laluan kenderaan.
“Kenderaan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut oleh PUSPAKOM,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati serta mematuhi arahan keselamatan terutama ketika berlangsungnya acara awam yang melibatkan penggunaan jalan raya.



