KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PMG Healthcare Sdn Bhd baru-baru ini bagi memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan intervensi pemakanan, kesihatan komuniti serta kesejahteraan rakyat.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pemilihan UMS sebagai rakan strategik PMG Healthcare mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan akademik, penyelidikan dan sumbangan UMS dalam bidang pemakanan, kesihatan komuniti dan kesejahteraan masyarakat.
“Kerjasama yang kita meterai ini berdiri di atas tiga tiang utama, iaitu latihan industri yang bermakna, penyelidikan bersama yang berimpak dan program komuniti yang berkesan.
“Inilah model triple helix antara universiti, industri dan komuniti yang sering dibincangkan, dan saya memberi jaminan komitmen penuh universiti terhadap pelaksanaan kerjasama ini,” katanya.
Beliau turut menaruh keyakinan bahawa FSMP UMS bersama-sama PMG Healthcare Sdn Bhd akan dapat menterjemahkan MoU tersebut kepada program-program yang berimpak dan memberi nilai tambah kepada pelajar, industri dan komuniti.
Pada majlis pemeteraian MoU tersebut, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoU, manakala PMG Healthcare Sdn Bhd diwakili oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Dr. Chieng King Chong.
Menerusi MoU tersebut, pelajar Program Pemakanan UMS berpeluang menjalani latihan industri di rangkaian outlet PMG Healthcare Sdn Bhd, menjalankan penyelidikan bersama dalam keberkesanan suplemen dan intervensi diet untuk pesakit kronik, seterusnya melaksanakan program komuniti yang membawa nasihat pemakanan terus ke kaunter farmasi melalui kempen kesedaran bersama.
Kolaborasi itu turut merangkumi penglibatan dalam karnival kerjaya dan aktiviti pekerjaan, lawatan pelajar secara fizikal atau maya, program pembangunan bakat di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah, serta seminar profesional dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sepanjang tempoh kerjasama tiga tahun.
PMG Healthcare Sdn Bhd yang beribu pejabat di Sarikei, Sarawak mempunyai jaringan penjagaan kesihatan utama yang merangkumi klinik perubatan dan pergigian, farmasi runcit serta makmal di seluruh Malaysia.



