HomeUtama635 kenderaan diambil tindakan dalam operasi Tahun Baru Cina

635 kenderaan diambil tindakan dalam operasi Tahun Baru Cina

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mengambil tindakan terhadap 635 kenderaan setakat empat hari operasi khas penguatkuasaan sempena Tahun Baru Cina bermula 20 Januari lalu.

Pengarah JPJ Sabah Mohd Harris Ali berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 7,263 kenderaan telah diperiksa di seluruh Sabah dan 1,256 Notis Saman JPJ(P)22 telah dikeluarkan.

“Ini merangkumi tiga kesalahan tertinggi iaitu 259 kes tiada Lesen Memandu (CDL), 299 kes Lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran sebanyak 214 keping.

“Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 51 Notis Saman JPJ(P)23, 114 Notis Arah Periksa, dua Notis Temu Siasat, dua Notis Penahanan Kenderaan, tujuh Notis Arah Timbang dan 79 keping PG.1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Bas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025, di sini Jumaat lalu.

Mohd Harris berkata, melalui operasi khas sehingga 9 Februari depan, JPJ memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“Kesalahan-kesalahan itu merangkumi memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang kalendar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.

“JPJ juga melaksanakan sekatan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan selama empat hari, sebelum dan selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu pada 27 dan 28 Januari serta satu hingga 2 Februari 2025.

“JPJ Negeri Sabah menyeru kepada semua rakyat Malaysia khasnya di Sabah agar menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama e-aduan selain SISPAA, [email protected] dan [email protected] bagi membantu pihak JPJ mengambil tindakan pantas kepada pemandu yang tidak mematuhi undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan,” katanya. 

Beliau juga memohon agar pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan, memastikan kenderaan masing-masing diselenggara dengan baik dan selamat serta merancang perjalanan ke destinasi yang dituju.

RELATED ARTICLES
Utama

Media pikul tanggungjawab didik rakyat sebar luas maklumat benar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular