Kota Kinabalu : Beberapa laluan dan tempat letak kereta berhampiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada sambutan ulang tahun ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu Ahad ini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara yang terlibat ialah Jalan Tugu dan Jalan Bandaran.
“DBKK akan melaksanakan penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta di lokasi-lokasi berhampiran DBKK bermula jam 1 Pagi hingga 1 Petang Ahad ini.

“Antara yang ditutup termasuklah tempat letak kereta di Jalan Tugu; Mahkamah Lama dan Tapak Perpustakaan Lama,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut kenyataan itu lagi, penutupan di Jalan Bandaran bermula dari lampu isyarat KK Bypass hingga bulatan Horizon akan ditutup sementara bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.
“Selain itu, turut ditutup Ahad ini adalah Jalan Tugu bermula dari bulatan Kampung Air hingga bulatan Horizon pada masa yang sama,” tambah kenyataan itu lagi.
DnKK menasihatkan orang ramai untuk mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas dan menggunakan jalan alternatif bagi tujuan keselamatan dan kelancaran trafik. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK