HomePendapatKekurangan Doktor dan Jururawat Semakin Kritikal Dalam Sektor Kesihatan Malaysia

Kekurangan Doktor dan Jururawat Semakin Kritikal Dalam Sektor Kesihatan Malaysia

Read Time:3 Minute, 13 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

Kuala Lumpur, Malaysia kini berdepan krisis kesihatan yang semakin meruncing berikutan kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan, terutamanya doktor dan jururawat. Jika tiada tindakan segera diambil, situasi ini dijangka menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Kekurangan Tenaga Kerja di Hospital Kerajaan

Isu kekurangan doktor dan jururawat bukanlah perkara baharu, tetapi keadaan semakin membimbangkan. Laporan terkini menunjukkan bahawa banyak fasiliti kesihatan kerajaan tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Sebagai contoh, pada Jun 2023, Menteri Besar Johor mendedahkan bahawa Hospital Sultan Ismail mengalami kekurangan tenaga kerja sehingga menyebabkan lebih 100 katil tidak dapat digunakan, manakala hanya 10 daripada 18 bilik bedah beroperasi.

Situasi ini bukanlah terhad kepada Johor sahaja. Menurut laporan terbaru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat Mac 2024, terdapat 6,787 kekosongan jawatan jururawat, meningkat lebih 200% dalam tempoh lima tahun.

Jurang Besar dalam Perkhidmatan Kesihatan

Menurut laporan Petunjuk Kesihatan 2024, Malaysia mempunyai 118,309 jururawat berdaftar, dengan 66% berkhidmat di sektor awam dan selebihnya di sektor swasta. Walau bagaimanapun, nisbah jururawat kepada penduduk semakin merosot, daripada 1:279 pada 2022 kepada 1:282 pada 2024. Beberapa negeri seperti Sabah mencatat nisbah lebih tinggi, iaitu 1:417, berbanding 1:368 pada tahun sebelumnya.

KKM: Jumlah Kekosongan Jururawat
Tahun2020202120222023Mac 2024
Jumlah Kekosongan2,1062,2244,4206,8966,787

Situasi kekurangan doktor juga semakin kritikal. Pada Mac 2024, terdapat lebih 3,500 kekosongan jawatan Pegawai Perubatan (MO) di KKM. Walaupun nisbah doktor kepada penduduk meningkat daripada 1:412 pada 2022 kepada 1:406 pada 2023, ramai doktor dilaporkan enggan berkhidmat di hospital kerajaan.

KKM: Jumlah Kekosongan Pegawai Perubatan (MO)
Tahun2020202120222023Mac 2024
Jumlah Kekosongan2,1253,3685,9924,5813,593

Daya Tarikan Sektor Swasta dan Luar Negara

Salah satu faktor utama yang menyebabkan jurang tenaga kerja ini ialah daya tarikan sektor swasta dan peluang pekerjaan di luar negara seperti Singapura dan Timur Tengah. Gaji dan manfaat yang lebih lumayan, persekitaran kerja yang lebih kondusif serta bebanan kerja yang lebih terkawal menjadi tarikan utama.

Sebagai perbandingan, laporan media menyatakan bahawa gaji jururawat di Malaysia (RM1,800) jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran seperti Brunei (RM10,752) dan Singapura (RM8,777). Perbezaan ketara dalam aspek gaji dan manfaat ini menyebabkan ramai tenaga kerja kesihatan memilih untuk berhijrah ke luar negara.

Langkah KKM dalam Menangani Krisis

Bagi menangani isu ini, KKM telah mengambil beberapa langkah, antaranya meningkatkan jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan dari 1,000 kepada 2,000 orang serta menambah penawaran program peningkatan secara lantikan (PSL). Selain itu, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan untuk mengekalkan tenaga kerja sedia ada, termasuk memperbaiki persekitaran kerja dan menawarkan insentif kewangan.

Malangnya, ramai doktor tidak berminat untuk berkhidmat di bawah KKM. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, dalam tempoh masa 1.5 tahun (2023 – April 2024), tawaran lantikan tetap telah di berikan kepada 6,346 Pegawai Perubatan (MO) lantikan kontrak. Daripada jumlah tersebut:

  • 5,589 (88%) telah menerima tawaran dan melapor diri bertugas
  • 343 (5%) telah melengkapkan setuju terima tawaran tetapi tidak melapor diri bertugas, dan di anggap telah menolak tawaran
  • 414 (7%) telah menolak tawaran dan meletak jawatan

Ini bermakna, dalam tempoh masa 1.5 tahun, KKM telah mengalami kehilangan besar 12% Pegawai Perubatan (MO).

Namun, Menteri Kesihatan memberi amaran bahawa negara diunjurkan mengalami kekurangan jururawat hampir 60% menjelang 2030, satu angka yang amat membimbangkan. Walaupun usaha sedang dijalankan, penyelesaian jangka panjang memerlukan perancangan lebih komprehensif.

Cabaran dan Tanggungjawab Bersama

Permasalahan ini tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat kerana ia melibatkan pelbagai aspek, termasuk latihan tenaga kerja yang memakan masa bertahun-tahun dan kekangan kewangan negara dalam menawarkan pakej gaji yang lebih kompetitif.

Bagaimanapun, ramai jururawat dan doktor masih mahu berkhidmat di negara sendiri jika pakej pekerjaan yang ditawarkan lebih berbaloi. Dalam pada itu, terdapat juga individu yang menerima tajaan kerajaan untuk belajar di luar negara tetapi tidak kembali berkhidmat di tanah air.

Situasi ini menuntut perhatian serius pihak kerajaan dan masyarakat bagi memastikan sistem kesihatan negara terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular