Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Lebih 2,000 kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hadir pada upacara menaikkan bendera sempena sambutan ulang tahun ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu di sini pagi ini.
Upacara yang berlangsung di perkarangan DBKK itu turut dihadiri Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan isteri Datin Seri Adreen Aderizza Mohamad Soffi.
Majlis yang dimulakan tepat jam 8 pagi itu dimulai dengan pemeriksaan pasukan kawalan kehormatan DBKK dan diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Sejurus selepas itu majlis diteruskan dengan lafaz ikrar Rukun Negara dan bacaan doa.
Selepas itu, perarakan masuk bendera Bandaraya Kota Kinabalu yang dibawa sepasukan anggota penguatkuasa DBKK dan dinaikkan dengan iringi lagu DBKK.

Selesai menaikkan bendera, kakitangan DBKK yang hadir turut melafazkan ikrar DBKK sebelum diakhiri dengan tabik hormat pasukan kawalan kehormatan kepada Datuk Bandar.
Semalam, turut diadakan Majlis Apresiasi DBKK sempena Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Pada majlis itu, seramai 41 pesara DBKK menerima penghargaan selain 31 anugerah lain turut disampaikan kepada penerima.
Majlis itu dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. – SABAH MEDIA