Kota Kinabalu : Daerah Beaufort dan Tambunan masing-masing diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort Mohd Nazri Ajun berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 12 tengah hari tadi.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Beaufort,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi JPBD Tambunan Sobitun Makajil berkata, daerah itu juga turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 9 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat jam 12 tengah hari tadi, daerah Beaufort mencatat pertambahan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon seramai 232 orang dari 68 keluarga.
Jumlah itu meningkat berbanding 223 orang yang direkodkan pada jam 8 pagi tadi.
“Selain itu, jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS di Kinabatangan merekodkan seramai 252 orang dan Keningau seramai 132 orang,” menurut kenyataan itu lagi.
Sementara itu di Tambunan, satu PPS dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Daerah Tambunan dengan menempatkan sebanyak empat keluarga. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH