HomeUtamaBot nelayan tarik pukat tepi ditahan Maritim Malaysia di Tawau

Bot nelayan tarik pukat tepi ditahan Maritim Malaysia di Tawau

Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU: Sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau pada jam 2.15 petang semalam.

Bot tersebut dikesan menjalankan aktiviti menarik pukat kurang dari 2 batu nautika dari daratan, bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi PLUTO TIMUR dan Operasi TIRIS berjaya mengesan bot tersebut beroperasi kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Sungai Umas Umas.

“Hasil pemeriksaan lanjut, didapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang juragan bersama dua awak-awak lelaki yang kesemuanya pemegang passport warga Indonesia berumur antara 30 hingga 45 tahun.

“Mereka didapati melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak yang tidak dibenarkan, iaitu terlalu dekat dengan pantai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Shahrizan, bot, awak-awak, serta muatan hasil laut yang diangkut turut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau.

“Semua barangan tersebut, termasuk bot nelayan dan pukat, disita dengan anggaran nilai rampasan melebihi RM76,000. Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Shahrizan turut menegaskan bahawa tindakan bot pukat tunda yang melanggar syarat lesen ini turut mendapat keluhan daripada nelayan pantai.

Katanya, kehadiran bot tersebut dikhaskan untuk menangkap ikan di kawasan lebih jauh dari pantai, dan tindakan mereka yang beroperasi dekat dengan daratan boleh merosakkan ekosistem laut serta mengancam aktiviti perikanan nelayan tradisional.

“Justeru, Maritim Malaysia juga menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dalam menyampaikan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut, dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Nvidia Umum Superkomputer Pertama Malaysia Bersama YTL, Dijangka Beroperasi Suku Ketiga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular