HomeUtamaFiesta Makan-Makan KK tonjol kreativiti kepakaran peniaga dalam kulinari

Fiesta Makan-Makan KK tonjol kreativiti kepakaran peniaga dalam kulinari

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Penganjuran Fiesta Makan-Makan Kota Kinabalu yang menghimpunkan lebih 200 usahawan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berupaya menonjolkan kreativiti dan kepakaran peniaga dalam bidang kulinari.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, ia juga dapat mewujudkan jaringan perniagaan baharu selain meningkatkan visibiliti produk, serta berpotensi memperluaskan pasaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, usaha itu secara langsung dapat menyumbang kepada pengukuhan ekonomi komuniti setempat serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan selain turut membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat tempatan.

“Acara ini juga dianjurkan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat
tempatan berkenaan keunikan makan citarasa tempatan dan menu tradisi budaya kita.

“Ia juga memberikan peluang kepada peniaga-peniaga untuk menonjolkan kepakaran mereka di dalam penyediaan menu makan yang menarik, unik dan yang tular.

“Selaras dengan maksud penganjuran fiesta, saya menggesa kepada para usahawan agar menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk memberi fokus kepada peningkatan jati diri, kualiti produk, sistem dan penjenamaan, seterusnya melebarkan sayap ke peringkat yang lebih jauh bukan sekadar pasaran tempatan malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Fiesta Makan-makan Kota Kinabalu di Foyer DBKK di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah DBKK Sr. Lifred Wong.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK merangkap Pengerusi Acara Robert Lipon.

Dr Sabin berkata bidang kulinari semakin mendapat perhatian antarabangsa sebagai satu platform yang mempromosikan keunikan kesenian dan kebudayaan sesebuah negara.

Katanya, Malaysia terkenal sebagai negara syurga makanan dan masyarakat seharusnya mengambil peluang untuk menjaga kualiti produk dan keterampilan perniagaan masing-masing.

“Janganlah kita merosakan imej ini dengan melakukannya secara sambil lewa. Di dalam mengejar kemajuan ekonomi perniagaan, kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebersihan diri, tempat berniaga dan kawasan sekitar bandaraya.

“Adalah menjadi harapan besar saya agar sokongan dan kerja sama yang erat dapat diberikan oleh semua pihak dan semoga dengan usaha ini, kita dapat mencapai visi menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu ini bukan sahaja merupakan bandar yang bersih dan terindah serta unik serta mempunyai tarikan yang tersendiri, setaraf dengan bandar-bandar di negeri atau negara luar yang lain,” katanya.

Fiesta Makan-makan itu berlangsung selama dua hari berakhir hari ini adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih RM2 bilion peruntukan untuk ATM di Sabah: Mohamed Khaled

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular