Membakut : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi Pusat Zakat Sabah (PZS) menyampaikan sumbangan kepada 257 ketua isi rumah (KIR) yang masih ditempatkan di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah di sini hari ini.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara daerah yang terlibat adalah di daerah Membakut dan Beaufort.

Katanya, sumbangan itu adalah berupa wang tunai dan bakul makanan yang akan diterima KIR terlibat.
“Hari ini saya bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS memberikan sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Membakut untuk daerah Membakut dan saya ucap terima kasih kepada MUIS kerana tampil membantu mangsa banjir.

“Saya juga akan ke Beaufort untuk meninjau PPS di Dewan Selagon dan MUIS juga akan memberikan sedikit sumbangan untuk mangsa banjir di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa terjejas banjir di PPS Dewan SMK Membakut di sini petang tadi.
Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, pihaknya berharap agar situasi banjir di daerah itu akan surut dan beransur pulih seperti biasa.
“Saya difahamkan ada tempat yang mula surut tapi ada tempat yang naik airnya dan kita sentiasa bersiap siaga. Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai daerah yang menjadi pengerusi kepada jawatankuasa ini serta agensi-agensi yang terlibat.
“Saya juga harap mula hari dan esok air akan surut. Mudah-mudahan yang masih terlibat dengan banjir ini saya nasihatkan agar mereka memberitahu kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) masing-masing.
“Dan JKKK juga saya harap dapat memantau pemimpin-pemimpin masyarakat dan jangan khuatir kita sentiasa membantu demikian juga Jawatankuasa ini sentiasa memantau dari kampung ke kampung,” katanya.
Terdahulu, mangsa yang masih ditempatkan di Beaufort adalah seramai 538 orang masing-masing ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon dan Dewan Kebudayaan dan Kesenian Bisaya. – SABAH MEDIA