Oleh FLORIETA DIET
POS Shop akan menyokong Perusahaan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dengan menyediakan platform untuk mereka mempamerkan dan menjual produk di Pos Shop.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Charles Brewer memberi jaminan itu ketika berucap pada berucap di Majlis Pelancaran Pos Shop di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu pada Jumaat.

Pada masa ini, beberapa produk seperti pau dan nasi lemak yang dihasilkan PKS tempatan dijual di Pos Shop. Ini mencerminkan komitmen Pos Malaysia dalam menyokong perniagaan tempatan sambil menyediakan pengalaman runcit yang pelbagai dan mudah untuk rakyat Malaysia.
“Namun ini baru permulaan. Kami percaya Pos Shop Kota Kinabalu akan menjadi pemangkin dalam merevolusikan pengalaman runcit untuk komuniti di Sabah,” katanya
Terletak di lokasi strategik di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu Jalan Segama, cawangan pertama Pos Shop di Malaysia Timur ini juga menandakan komitmen Pos Malaysia dalam memodenkan perkhidmatan mereka serta berkembang selaras dengan keperluan dan kehendak pengguna.
“Cawangan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi pertama kami di Malaysia Timur, tetapi juga di Sabah. Ini adalah satu langkah penting yang mengukuhkan komitmen Pos Malaysia untuk mendekatkan perkhidmatan kami dengan rakyat Sabah, mempertingkatkan cara kami berkhidmat dan memastikan kami kekal relevan,” katanya.
Tambahmya lagi, dengan keluasan lebih 2,200 kaki persegi, Pos Shop Kota Kinabalu menggabungkan pejabat pos yang beroperasi dengan ruang runcit yang selesa dan mesra. Ia menawarkan perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon bimbit dan e-wallet, serta pelbagai keperluan harian.
“Cawangan ini juga menampilkan Pos Kafe yang popular, pelanggan boleh menikmati kopi segar dan snek ’sedia dimakan’. Konsep inovatif ‘kedai dalam kedai’ ini memberi nafas baru kepada pejabat pos tradisional dan mencipta persekitaran runcit moden dan menarik di mana pelanggan boleh menyelesaikan urusan, berehat, dan membeli-belah di satu lokasi yang mudah,” katanya.
Charles menjelaskan, Pos Malaysia membawa konsep ini di Kota Kinabalu selepas kejayaan Pos Shop di Semenanjung Malaysia.
“Pos Shop yang pertama dibuka di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, pada Mei 2023. Sejak itu, Pos Shop telah berkembang dengan pesat di seluruh Malaysia. Baru-baru ini, Pos Malaysia meraikan pelancaran Pos Shop ke-50 di Pulau Pinang, mencapai satu pencapaian penting dalam peluasan runcit di seluruh negara.,” katanya.
Secara keseluruhannya, Pos Shop telah menerima lebih 630,000 pelanggan, menjual 80,000 botol air, 140,000 roti, 52,000 sajian aiskrim lembut, 153,000 biji pau, 43,000 pek nasi lemak, dan pelbagai lagi barangan yang akan dipilih dengan teliti.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal berpegang pada tujuan kami untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang lebih baik.
“Kami akan terus berinovasi untuk mempertingkatkan perkhidmatan kami dan memberikan pengalaman yang menggembirakan kepada setiap individu yang berinteraksi dengan Pos Malaysia.” katanya.
Sementara itu, Sabah Media sempat menemubual seorang pengunjung yang singgah untuk membeli makanan di Pos Shop.
Petrus Unding, 49, berharap dapat Pos Malaysia membawa konsep ini di Pejabat Pos di daerahnya, Tamparuli.
Dia tertarik konsep ini kerana, pelanggan tidak akan berasa bosan ketika menunggu giliran untuk berurusan di kaunter.
“Sementara kita tunggu nombor giliran kita dipanggil, kita boleh minum kopi atau makan di meja yang disediakan. Di sini ada macam-macam roti dan makanan lain dijual,” katanya.
Sementara itu Vell Michell Raphael, 39, juga berharap Pejabat Pos Penampang juga berubah wajah seperti Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu.
Dia juga meminta agar Pos Malaysia menaiktaraf Pejabat Pos Penampang dengan membina bangunan lebih besar dan selesa.
“Bangunan Pejabat Pos Penampang ketika ini agak kecil dan sempit. Kawasan ruang menunggu juga tidak mampu menampung jumlah orang ramai yang datang berurusan,” katanya.