KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 31 tahun maut selepas dipercayai ditikam ketika cuba menghalang seorang lelaki daripada mengejar penjual makanan dalam kejadian di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai ditikam menggunakan pisau pemotong daging di tangga berhampiran sebuah premis perniagaan sebelum sempat melarikan diri dan rebah di kawasan parkir kenderaan berhampiran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada Jabatan Kecemasan Hospital Likas pada jam 6.43 pagi berhubung seorang lelaki yang meninggal dunia selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan.
“Mangsa yang dibawa ahli keluarganya ke hospital dalam keadaan kritikal disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syed Lot, siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun dipercayai bertengkar dengan seorang penjual makanan di luar sebuah kafe sebelum cuba menikam lelaki berkenaan menggunakan pisau lipat.
“Penjual makanan itu berjaya melarikan diri, namun dikejar suspek. Mangsa yang ketika itu berada di sebuah pusat snuker berhampiran cuba menghalang tindakan suspek sebelum ditikam menggunakan pisau pemotong daging ketika terserempak dengannya di tangga bersebelahan premis berkenaan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan terbabit,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Syed Lot berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemui beberapa barang kes serta sampel untuk dianalisis.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 15 November bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Polis kini giat mengesan dan menangkap suspek selain meneruskan usaha mendapatkan keterangan saksi lain yang berada di sekitar lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk lokasi suspek, diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Syed Lot turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.



