Kota Kinabalu : Situasi banjir di Sabah menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 476 orang setakat jam 4 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, jumlah itu adalah melibatkan 144 keluarga yang masih ditempatkan di empat PPS di dua daerah.
“Di Beaufort, dua PPS yang masih dibuka iaitu Dewan Bisaya dan Dewan DSP Dun Banir masing-masing menempatkan seramai 176 dan 126 orang setakat jam 4 petang.
“Manakala di Kinabatangan, dua PPS yang masih dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau yang menempatkan seramai 108 mangsa dan SK Bukit Garam seramai 66 orang,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH