Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe menafikan bahawa wujudnya aktiviti pengeksportan pasir silika di Sabah tanpa kebenaran seperti yang didakwa oleh pihak yang tertentu dan tular di media sosial.
Menurut Phoong, beliau telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri berkenaan semua fakta yang benar bagi membuktikan tidak ada pengeksportan yang tidak dibenarkan dan juga dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak betul.
“Setakat ini, hanya satu aktiviti eksport pasir silika yang telah dibenarkan bagi tujuan untuk ujian pengeluaran iaitu pada Julai dan Ogos 2023.
“Pelabur iaitu SBH Kibing Solar membawa pasir silika ke China untuk uji kualiti ataupun skala mutu pasir silika kita. Kita benarkan pada masa itu untuk buat ujian pengeluaran. Jumlah eksport yang dipohon adalah sebanyak 5,000 tan. Walau bagaimanapun hanya 2,598.93 tan yang dieksport.
“Ini adalah hanya untuk buat ujian, sementara menunggu kilang SBH Kibing Solar di KKIP siap dibina dan beroperasi. Setelah kilang itu siap sepenuhnya tahun lalu, pasir silika di Sabah tidak di eksport ke mana-mana.
“Pasir silika kita sepenuhnya dihantar ke kilang pasir silika di KKIP untuk dibuat kaca solar.
kita telah berjaya mewujudkan nilai tambah, yang mana pasir silika telah berjaya dihasilkan sebagai kaca solar buatan Sabah bernilai tinggi,” katanya pada sidang media di pejabat Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan dekat sini, semalam.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung dakwaan isu berlakunya aktiviti pengeksportan pasir silika ke luar Sabah.
“Ada orang awam mendakwa ternampak tongkang membawa pasir silika keluar daripada jeti Sikuati Kudat. Itu sebenarnya adalah penghantaran pasir silika melalui jalan laut ke Teluk Sepanggar menggunakan tongkang sebelum di hantar ke kilang di KKIP menggunakan lori pada 9 Disember 2024, iaitu dua bulan yang lalu,” katanya.
Phoong menjelaskan bahawa sebelum ini, penghantaran pasir silika dari Kudat ke KKIP adalah menggunakan lori tetapi menukar kaedah dengan menggunakan jalan laut memandangkan pembinaan Jeti Sikuati telah siap dan jarak perjalanan yang lebih dekat,” katanya.
Phoong juga menjelaskan bahawa, kilang SBH Kibing Solar telah berjaya menghasilkan kaca solar yang bermutu tinggi dan berjaya dieksport pada tahun lalu.
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus fokus memperkasakan industri tersebut sehingga Sabah mampu menghasilkan panel solar sendiri serta produk lain daripada pasir silika.