Kota Kinabalu: Usaha mencapai kecemerlangan dalam amalan perubatan memberi manfaat bukan sahaja kepada pengamal perubatan tetapi juga kepada jutaan orang.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dedikasi dan kepakaran para profesional memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan perkhidmatan penjagaan pesakit dan memacu inovasi dalam bidang perubatan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan Asia Pacific Federation of Coloproctology (APFCP) 2025 ke-20 di sini, hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, persidangan itu adalah bukti komitmen komuniti pakar bedah Coloproctology dalam meningkatkan penjagaan kesihatan.
Katanya, dengan tema ‘Sustainable Surgery: Embracing Innovation, Empowering Teams,’, ia tepat kerana selaras dengan usaha berterusan untuk memajukan perkhidmatan perubatan itu sekali gus memastikan kelestariannya dalam tempoh masa panjang.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengiktiraf program-program saintifik yang telah dirancang dengan teliti untuk persidangan itu.
“Dengan kehadiran pakar dari seluruh dunia yang berkongsi pengetahuan dan membincangkan kemajuan terkini dalam pembedahan Coloproctology, saya yakin platform ini akan memupuk dialog dan kerjasama yang bermakna.
“Perbincangan anda sepanjang beberapa hari akan datang sudah pasti akan menyumbang kepada peningkatan berterusan dalam amalan penjagaan kesihatan, memberi manfaat kepada pesakit bukan sahaja di rantau Asia Pasifik tetapi juga di seluruh dunia,” katanya. – SABAH MEDIA