HomeUtamaSabah sasar 500 Pemohon Sabah-MM2H tahun ini

Sabah sasar 500 Pemohon Sabah-MM2H tahun ini

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 500 pemohon bagi program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.

“Sudah tentu, lebih ramai pemohon yang kita terima, lebih baik untuk program dan negeri kita,” katanya semasa Hari Terbuka dan Sesi Dialog Bersama Agensi Sabah-MM2H di Hotel Magellan Sutera Harbour, dekat sini, hari ini.

Christina berkata, Sabah-MM2H telah dilancarkan secara rasmi pada 12 Disember tahun lalu dan seperti dijangka, menghadapi beberapa cabaran awal.

“Seperti mana-mana inisiatif baharu, kami menjangkakan beberapa rintangan dan cabaran sepanjang perjalanan.

“Bagaimanapun, kementerian akan melakukan yang terbaik untuk memberi panduan dan memastikan kelancaran proses bagi semua pemohon serta pihak berkepentingan.

“Kami juga merancang untuk menyemak semula kriteria program pada Jun 2025 bagi memastikan ia kekal relevan, berdaya saing dan sejajar dengan matlamat pembangunan jangka panjang negeri,” katanya.

Menurut Christina, Sabah-MM2H bukan sekadar program visa, tetapi satu platform untuk memperkenalkan dunia kepada keunikan Sabah.

“Ia adalah platform untuk memperkenalkan Sabah kepada dunia menerusi warisan budaya yang kaya, landskap yang memukau serta masyarakat yang mesra dan pelbagai.

“Program ini juga memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi negeri dengan menarik penduduk asing yang bukan sahaja melabur di Sabah, tetapi turut menyumbang secara bermakna kepada masyarakat setempat,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai; Penolong Setiausaha Kanan Unit Sabah-MM2H, Norita Tani; Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan Negeri Sabah, Mohammad Zaid Yusof; serta Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Sabah (Kawalan), Garry Belayong.

Sabah-MM2H merupakan sebahagian daripada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dipromosikan oleh Kerajaan Malaysia bagi membolehkan warga asing atau pesara dari luar negara yang memenuhi syarat menetap di Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular