Kota Kinabalu : Sebanyak enam kompaun dikeluarkan kepada penjaja yang ingkar arahan dan membuat halangan di sekitar bangunan Pasar Besar Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, peniaga terlibat sebelum ini telah diberi peringatan namun masih tidak mengulangi kesalahan sama.
“Menerusi operasi yang diadakan sekitar jam 12 tengah hari itu, DBKK menerusi Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan telah mengenal pasti beberapa penjaja yang masih degil dan terus membuat halangan di sekitar bangunan pasar, walaupun telah ditegur beberapa kali sebelum ini.

“Sehubungan itu, sebanyak enam keping tawaran kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (Pasar) 1966 (Menyebabkan Halangan di Bangunan Pasar) kepada penjaja pasar berkenaan,” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK amat memandang serius perkara itu dan akan terus melaksanakan pemantauan dari masa ke masa.
“Para penjaja dinasihatkan untuk sentiasa patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengoperasian,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK