Bermula 1 Januari 2025, Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN buat kali kelima selepas menjadi pengerusi sebelum ini pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” pada tahun 2025 ini, Malaysia kini membawa agenda kelangsungan keamanan di rantau yang dihuni hampir 700 juta orang ini.

Pensyarah Kanan Polisi Dan Dasar Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamed Fajil Abdul Batau menyatakan kesinambungan keamanan serantau sudah disuarakan dengan jelas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ketika berucap di Davos, Switzerland baru-baru ini. Keamanan dan kestabilan ASEAN adalah daya penarik utama untuk merancakkan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN yang bernilai US$3.8 trilion pada ketika ini.
Menurutnya lagi, kali terakhir pada sepuluh tahun lepas, Malaysia memilih tema “Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita” selaku pengerusi ASEAN. Selepas Malaysia selesai menjadi Pengerusi ASEAN pada ketika itu, Kavi Chongkittavorn, seorang penganalisis ASEAN tersohor daripada Institut Keselamatan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Chulalongkorn berpendapat masih ada lagi “perkara yang belum selesai” bagi anggota ASEAN berkaitan Komuniti ASEAN.
Tambah Dr Fajil, tema inklusif atau keterangkuman serta kemampanan yang dibawa Malaysia kali ini lebih menyeluruh bagi ASEAN bagi membolehkan agenda-agenda komuniti yang belum diselesaikan dapat dimurnikan secara bersama dalam Visi Komuniti ASEAN 2045 nanti.
Dr Fajil menyatakan Malaysia telah memulakan tugas dengan baik dalam Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland bila YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN telah memberikan hala tuju yang jelas tentang apa yang dimahukan oleh ASEAN dalam aspek perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN secara jelas memberitahu dunia bahawa negara-negara ASEAN bukanlah bersaing sesama sendiri, tetapi mengutamakan perkara yang inklusif dan mampan yang memberi manfaat antara satu sama lain”
“PM kita tegas menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan, dan begitu juga rantau ASEAN. Ketegasan Malaysia ini memainkan peranan penting sebagai satu suara bagi sepuluh negara ASEAN yang lain, bahawa rantau ini baik dengan semua negara-negara jiran seperti China, India dan Australia bagi memastikan perdagangan dan pelaburan terus memberikan impak kepada seluruh komuniti ASEAN” ujar Dr Fajil.
Tambah Dr Fajil lagi, Datuk Seri Anwar telah berjaya meletakkan hala tuju ke arah memastikan kelangsungan keamanan di rantau ASEAN ini terus terpelihara buat hampir 700 juta penduduknya. Keamanan dan kestabilan sesebuah wilayah pada hari ini adalah perkara yang paling mustahak bagi menarik pelabur untuk terus berdagang di rantau ini.
“Dunia sudah letih melihat konflik, krisis dan peperanangan. Komuniti perdagangan dan pelabur multi nasional akan mencari wilayah yang selamat bagi memastikan syarikatnya terus berkembang di peringkat global. Malaysia beruntung kerana bersama-sama dalam Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership, CPTPP bersama-sama dengan United Kingdom, Jepun. Kanada”
“Beberapa syarikat Malaysia yang sudah berjaya menembusi pasaran di United Kingdom dalam lawatan Perdana Menteri baru-baru ini seperti YTL, Gamuda dan Tenaga Nasional Berhad sudah pasti akan membuka pintu kepada syarikat-syarikat SME lain untuk turut sama terlibat nanti. Inilah kesan dari CPTPP dan kepengerusian ASEAN dalam membuka dan menerokai peluang pekerjaan baharu di luar negara buat syarikat tempatan dan ASEAN” ujar Dr Fajil.
Sebagai kesimpulannya, menurut Dr Fajil, kesinambungan keamanan serantau adalah kayu pengukur utama bagi memastikan kemampanan ASEAN dapat direalisasikan. Bila keamanan serantau terjamin, maka potensi besar ASEAN akan dapat diserlahkan terutamanya dalam bidang pendidikan, teknologi makanan, transisi tenaga serta strategik Grid Kuasa ASEAN.