KOTA KINABALU: Sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan mula menawarkan kemudahan kredit sewa beli berasaskan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa secara rasmi mulai 1 Jun 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan langkah kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Beliau berkata, selaras dengan pindaan tersebut, Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [P.U.(A) 171/2026] turut berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
“Penguatkuasaan ini susulan pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang diluluskan Parlimen pada tahun 2025 sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerangka perundangan berkaitan ekosistem kredit pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara isu utama yang sering dibangkitkan pengguna sebelum ini ialah beban caj faedah tersembunyi dan baki pinjaman yang masih tinggi walaupun penyelesaian awal dibuat bagi pembelian kenderaan secara sewa beli.
Katanya, keadaan itu menyebabkan peminjam terpaksa menanggung baki pinjaman yang tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman walaupun mahu menyelesaikan hutang lebih awal.
Armizan berkata, pindaan baharu itu memansuhkan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78) yang sebelum ini menyebabkan sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal digunakan untuk membayar faedah.
Sebagai gantinya, kerajaan memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method) dan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
“Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.
Selain itu, pindaan berkenaan turut mengiktiraf penggunaan teknologi digital dalam urusan perjanjian sewa beli, termasuk penggunaan tandatangan elektronik dan penyerahan dokumen secara digital bagi meningkatkan kecekapan proses.
Pada masa sama, keperluan pelaksanaan dua proses usaha wajar (due diligence) bagi pengesahan identiti peminjam turut diperkenalkan bagi mengurangkan risiko penipuan.
Armizan berkata, bagi fasa pertama pelaksanaan bermula 1 Jun ini, 11 entiti telah bersedia sepenuhnya untuk menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan peruntukan baharu di bawah Akta 212 dan peraturan subsidiarinya.
Katanya, fasa kedua pelaksanaan disasarkan bermula pada September 2026, manakala institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses integrasi serta pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.
“Pengguna yang ingin mendapatkan manfaat di bawah peruntukan undang-undang baharu ini disaran membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan perjanjian sewa beli.
“Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli juga digalakkan melaksanakan kerangka undang-undang baharu ini secepat mungkin serta memaklumkan kementerian selepas proses peralihan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata, reformasi undang-undang itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, di samping meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan pengguna di seluruh negara.



