Oleh FLORIETA DIET
BARU-baru ini Kementerian Komunikasi telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, yang digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kempen tersebut akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan internet.
Antara fokus utama kempen berkenaan menekankan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial, meningkatkan kesedaran agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia serta menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika.
Sabah Media sempat menemuramah orang ramai mengenai isu ini.
Petty Lisa Paul, 48, seorang guru dari Penampang, berkata kempen ini perlu diperluas tidak hanya tertumpu kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi awam tetapi juga kepada ibu bapa agar bersama membuat pengawasan terhadap anak-anak.

Katanya, tanpa kawalan, dari segi kesihatan, kanak-kanak akan malas bergerak sebab cuma tertumpu pada telefon pintar. Dari segi sosial, kanak-kanak lebih suka bersendirian berbanding bermain dan berkomunikasi dengan kawan-kawan.
“Dari segi bahasa pula, kanak-kanak mudah terpengaruh menggunakan bahasa yang kurang sopan.
Dalam hal ini, ibu bapa adalah orang pertama memainkan peranan untuk memberi informasi yang betul, tegas dan ada hadnya,” katanya.
Tambah Petty, dari segi membanteras jenayah siber pula, semua pihak perlu bekerjasama. Banyakkan aktiviti kesedaran tentang isu ini dan beri keutamaan orang ramai di kawasan pedalaman, luar bandar dan kawasan yang kurang akses internet. Ini kerana penduduk di kawasan ini berisiko paling tinggi ditipu kerena mereka kurang pendedahan.
“Saya amat bersetuju mengenai anak-anak bawah 13 tahun tidak perlu ada akaun media sosial. Ini kerana tidak sesuai kerana masih terlalu awal. Banyak akibat negatif akan timbul dari segi sosial, emosi dan tingkahlaku.
“Tidak dinafikan, pembelajaran abad ke 21 masa kini menggalakkkan penggunaan teknologi seperti telefon pintar mahupun komputer riba. Oleh itu penggunaan akaun media sosial juga perlu digunapakai, namun bergantung kepada anak-anak sama ada tujuan pembelajaran mahupun hiburan,” katanya.
Justeru itu, Petty menegaskan pihak ibu bapa perlu memantau segala aktiviti anak-anak seperti penggunaan telefon pintar mahupun komputer riba agar tidak disalah gunakan.

Bagi Anna Vivianne, 67, penulis buku dari Kota Kinabalu menjelaskan keputusan kawalan akses internet bagi kanak-kanak di bawah 13 tahun ke bawah memberi kebaikan dari segi keselamatan terjamin dan akan fokus dalam pembelajaran mereka.
“Penggunaan internet perlu diawasi oleh ibu bapa dengan hanya membenarkan mereka mengakses sumber pendidikan, aktiviti pembelajaran dalam talian dan platform interaktif agar dapat meningkatkan prestasi dalam pembelajaran.
“Kawalan penggunaan internet juga mampu mengekang mereka terpengaruh dengan aktiviti atau budaya yang kurang sihat,” katanya.
Dalam isu menidakkan mereka memiliki akaun media sosial, Anna berkata ada kemungkinan mereka tidak dapat berinteraksi atau bersosial dengan rakan sebaya mereka. Ini akan menyebabkan mereka rasa terasing.
“Oleh itu, saya rasa akses internet itu perlu tapi dengan pengawasan ibu bapa. Kita perlu hadkan masa mereka untuk melayari internet dan keutamaan adalah pembelajaran,” katanya.

Manakala Florence Nasir, 49, suri rumah dari Kota Belud bersetuju bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial. Ini kerana anak-anak akan leka untuk belajar kerana hanya tertumpu pada media sosial. Keadaan berkenaan akan menyebabkan mereka menjadi kurang minat belajar.
“Mengenai penipuan dalam talian masih lagi berlaku saya berharap SKMM harus mengadakan lebih banyak kempen kesedaran tentang penipuan dalam talian agar masyarakat lebih berhati-hati dan mempunyai pengetahuan yang lebih dalam tentang penipuan siber.
“Saya juga bersetuju pihak berwajib menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika serta mewujudkan satu garis panduan yang betul dan selamat,” katanya.