Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka permohonan menjaja di bazar Ramadan bawah seliaan DBKK secara dalam talian menerusi pautan borang E-Bazar selama dua hari bermula 18 Februari ini.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, pautan borang E-Bazar akan dikongsikan menerusi Facebook Rasmi DBKK pada tarikh berkenaan bermula jam 10 pagi.
Menurut kenyataan itu lagi, tapak lot adalah terhad dan berdasarkan ‘First Come, First Serve Basis’.
“Tapak lot bazar Ramadan di bawah seliaan DBKK ialah Lintasan Deasoka, Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru dan Padang Merdeka Kota Kinabalu.
“Bagi memudahkan proses pengisian Borang E-Bazar tersebut, pemohon hendaklah menyediakan beberapa dokumen yang diperlukan.
“Antaranya salinan sijil kad kesihatan yang masih sah; salinan sijil kursus pengendalian makanan; salinan kad pengenalan yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan satu gambar produk-produk jualan (berwarna dan dalam bentuk digital ‘soft copy’),” menurut kenyataan itu lagi.
DBKK berkata, kegagalan untuk memuat naik dokumen-dokumen yang telah dinyatakan tersebut akan menyebabkan permohonan ditolak.
Untuk pertanyaan lanjut, Bahagian Pengurusan Penjaja boleh dihubungi melalui talian 011-25198664, pada waktu pejabat, iaitu jam 8 pagi hingga 5 petang. – SABAH MEDIA