Semporna : Seramai 58 murid golongan asnaf dari dua buah sekolah rendah di daerah ini menerima bantuan persekolahan berupa kit kembali ke sekolah menerusi pelaksanaan program ‘Back To School’ anjuran Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di sini.
Program yang dianjurkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna itu diadakan di Dewan Terbuka Kampung Selakan dan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali.
Antara kit kembali ke sekolah yang disumbangkan termasuklah beg, set pakaian, alat tulis dan set kebersihan diri.
Dr. Jamaluddin berkata, pihaknya berharap agar murid yang menerima kit kembali ke sekolah itu dapat memanfaatkan sumbangan yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh.
Beliau turut mendoakan agar anak-anak dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.
“Kita maklum bahawa tidak semua lahir dalam keadaan bertuah, justeru, saya dan Komander ESSCOM meneruskan program ini di ESS Zone dengan mesej kegembiraan agar anak-anak kita bersemangat kembali ke sekolah.
“Terdapat juga antara penerima kit kembali ke sekolah ini yang baharu memasuki alam persekolahan dan biarlah program ini menjadi kenangan manis buat anak-anak terlibat dan seterusnya belajar dengan bersungguh-sungguh kerana hanya melalui pendidikan dapat mengubah kehidupan kepada yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mewakili Komander ESSCOM menyeru agar penduduk kampung sentiasa membantu pasukan keselamatan memelihara ketenteraman awam dengan menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan di lokaliti masing-masing.
Katanya, penganjuran program itu juga adalah sejajar dengan tekad Kerajaan Madani yang mengutamakan nilai Ihsan dalam Perkhidmatan Awam bagi membela kebajikan rakyat miskin dan mereka yang memerlukan secara berterusan.
Menurutnya, ia juga dapat serta mengurangkan dampak peningkatan kos sara hidup yang sedang melanda seluruh dunia.

Terdahulu, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) ESSCOM yang diketuai Pengerusi PUSPANITA ESSCOM, Datin Siti Aliah Ismail, telah turut menyantuni para tetamu dengan menyediakan juadah jamuan secara gotong-royong bersama-sama penduduk kampung pulau tersebut. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM