Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan barang kawalan di kedudukan 2.4 batu nautika selatan Batu 3 Tawau, sekitar jam 8.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, melalui maklumat risikan bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi telah berjaya mengesan pergerakan bot kargo tersebut sedang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot kargo tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 23 tahun merupakan pekerja di atas bot tersebut.
“Pemeriksaaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan tiada sebarang pengikraran barangan dilakukan. Semakan juga mendapati nama juragan juga tiada daftar di dalam lesen bot.
“Juragan seterusnya ditahan bersama bot kargo dan muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut. Hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 9,600 kilogram gula pasir paket sekilo di dalam bot kargo tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS).
Katanya, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,000.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi. Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA