Oleh FLORIETA DIET
PUTATAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan kepada semua pasaraya melaksanakan Jualan Rahmah agar menggunakan peruntukkan yang diberikan kementerian itu dengan sebaiknya.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pasaraya boleh melaksanakan lebih banyak Jualan Rahmah kerana kementeriannya telah mengeluarkan peruntukan untuk Jualan Rahmah.
Pasaraya terlibat boleh memilih waktu yang paling sesuai.
‘Pada masa terdekat ni, kita akan buat persiapan bulan Ramadan dan kemudian menyambut Hari Raya, saya harap pasaraya dapat bantu kerajaan dan kementerian dalam menangani kos hidup rakyat,’ katanya ketika melakukan Ops Catut Kembali Ke Sekolah di sebuah pasaraya di sini pada Ahad.
Tambahnya lagi, KPDN membuat pemantauan di 90 buah premis melalui Ops Catut di seluruh negara termasuk Sabah. Gerai-gerai bazar Ramadan juga tidak akan ketinggalan untuk diperiksa pada Ramadan nanti memastikan tiada elemen pencatutan berlaku.
Sepanjang pemantauan beliau bersama KPDN di 19 premis pasaraya di Sabah sehingga hari ini, beliau menjelaskan bahawa harga yang ditawarkan memang suatu yang membebankan.
“Saya tengok pun, saya tahulah begitu berat, walaupun elemen catut itu tak pasti lagi ada tetapi harga itu memang sesuatu yang berat,” katanya sambil menyarankan agar ibu bapa berbelanja di mana-mana Jualan Rahmah kerana diberi potongan harga.
Beliau juga menjelaskan bahawa KPDN akan memastikan minyak bersubsidi mencukupi pada Jualan Rahmah akan datang.
Beliau juga telah membuat lawatan ke sebuah kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi pagi tadi di Kota Kinabalu bagi memastikan pembungkusan berjalan lancar.
“Di Sabah, pada masa ini kita ada 5,733 tan metrik minyak bersubsidi dan akan diagihkan di zon Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau. Walaupun jumlah ini belum mencukupi, tapi kita akan pastikan setiap zon dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.
Tambahnya lagi, bekalan minyak bersubsidi di Sabah adalah stabil walaupun ada bulan-bulan tertentu pengeluaran terhenti kerana bekalan minyak habis atau kurang.