Oleh NORMIMIE DIUN
SANDAKAN: Sebuah syarikat dan pengarahnya menghadapi 14 pertuduhan berkaitan penggunaan logo halal tanpa kebenaran melibatkan produk sandwic, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, pertuduhan telah difailkan pada 24 Januari 2025, selepas siasatan intensif dijalankan susulan aduan awam dan penularan isu ini di media sosial.
“Dalam kes ini, syarikat dan pengarahnya didakwa atas enam pertuduhan masing-masing di bawah Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menawarkan produk dengan logo halal tanpa pengesahan pihak berkuasa berwibawa.
“Selain itu, syarikat dan pengarah berkenaan turut didakwa satu pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menggunakan cap dagangan berdaftar, iaitu logo halal Malaysia, tanpa kebenaran pemilik cap dagangan (JAKIM) pada 366 bungkusan sandwic,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Sapi dan DUN Karamunting di sini pada Ahad (16 Feb).
Armizan menjelaskan, siasatan bermula segera selepas isu ini tular pada 10 Januari 2025, diikuti tindakan pantas pegawai penguat kuasa yang mengumpul bukti dan menghantar sampel ke Jabatan Kimia pada 14 Januari.
Katanya, laporan makmal yang diterima pada 20 Januari mengesahkan tiada unsur DNA babi (porcine) ditemui dalam semua sampel sandwic yang terlibat.
“Kami merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 23 Januari dan pendakwaan dibuat keesokan harinya. Proses ini berjalan pantas untuk memastikan keadilan dan ketelusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar mematuhi peraturan pensijilan halal dan tidak mengambil mudah isu ini, sambil mengalu-alukan aduan awam untuk memperkukuh penguatkuasaan.
Sebelum ini, kebimbangan masyarakat timbul selepas tularnya bungkusan sandwic dengan perkataan ‘ham’ dan logo halal yang tidak disahkan JAKIM. Mencetak logo halal tanpa pensijilan yang sah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan tegas.