Kota Kinabalu : Penyerang import Sabah FC, João Pedro dilepaskan ke pasukan Ho Chi Minh City FC sebagai pemain pinjaman.
Perkara itu dinyatakan Pengurus Besar Sabah FC Mohd Joh Wid dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pasukan itu semalam.
“Sabah FC hari ini (semalam) mengumumkan bahawa penyerang import dari Brazil, Joao Pedro Boeira Duarte akan menyertai Ho Chi Minh City FC sebagai pemain pinjaman.
“Keputusan ini dibuat setelah Joao Pedro menerima tawaran dari kelab Vietnam tersebut. Pihak pengurusan Sabah FC telah berusaha untuk memujuk beliau supaya terus bersama pasukan, namun Joao Pedro tetap dengan keputusannya untuk menerima tawaran tersebut.
“Setelah perbincangan dengan Ketua Jurulatih dan pasukan kejurulatihan, Sabah FC bersetuju untuk melepaskan beliau,” katanya.
Joh berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Joao Pedro atas sumbangannya kepada Sabah FC.
“Kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam kariernya di Ho Chi Minh City FC,” katanya.
Joao Pedro menyertai Sabah pada jendela perpindahan kedua lalu dan telah merekodkan lapan jaringan dalam 15 penampilan bersama Sabah FC musim ini.
Ketiadaan Joao Pedro di jentera serangan sudah pastinya merencatkan pelan pengendali Sabah, Martin Stano untuk aksi seterusnya malam ini bertemu Sri Pahang. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC