Kota Kinabalu : Seramai 18 mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah mengambil bahagian dalam Program Berbasikal ‘Free Ride Tour’ dan ‘KK Harmony Ride’ 2025 di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Antara IPT yang terlibat dalam menjayakan program itu ialah Almacrest International College, AMC University College dan Jesselton University College.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran itu adalah untuk memperkenalkan aktiviti pelancongan yang akan menonjolkan keunikan Bandaraya Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan itu, ia termasuklah kepelbagaian kaum dan agama yang hidup bersama secara harmoni, melalui aktiviti berbasikal secara percuma.
Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK dengan kerjasama DBKK Holdings Sdn. Bhd, Sabah Tourism Board (STB) dan Sabah Tourist Guide Association (STGA).
Kayuhan yang bermula sekitar jam 2 petang itu menyaksikan para peserta berbasikal daripada KK Sentral menuju ke tiga ‘pitstop’, iaitu Masjid Negeri Sabah, Gurdwara Sahib Sikh Temple dan Sacred Heart Cathedral.
“Dalam kayuhan itu, mereka berpeluang untuk melawat selain mendengar taklimat ringkas berkaitan setiap lokasi.
“Penganjuran program seumpama ini juga merupakan antara inisiatif dalam mempromosikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai destinasi pilihan kepada pelancong dengan menyediakan program berbasikal sebagai tambahan kepada aktiviti pelancongan sedia ada,” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK turut berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan di masa akan datang melalui inisiatif ke arah menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan harmoni. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK