HomeUtamaSOGIP lonjak industri tenaga & ekonomi Sabah

SOGIP lonjak industri tenaga & ekonomi Sabah

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Foto YUSOF MOHAMMAD

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bakal menjadi pemangkin utama dalam pertumbuhan sektor tenaga, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji melancarkan Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Menurutnya, SOGIP telah menarik pelaburan berimpak tinggi, termasuk projek kilang keluli hijau oleh Syarikat Esteel dengan pelaburan berfasa bernilai RM20 bilion.

“Terbaharu, Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion) akan direalisasikan menerusi kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) dan Gibson Shipbrokers Limited. Projek ini dijangka menjadikan Sabah sebagai hab tenaga utama di Asia Tenggara.

“Kerajaan komited dalam menyokong pelaburan yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah. Kejayaan projek ini akan memacu pertumbuhan industri minyak dan gas serta menjadikan Sabah sebagai hab tenaga berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hajiji turut menekankan bahawa Sabah memiliki pelbagai kelebihan, termasuk lokasi strategik, kestabilan politik, serta sumber semula jadi yang melimpah, menjadikannya destinasi pilihan bagi pelabur asing.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum milik Petroventure Energy Sdn. Bhd. dijangka bermula pada April ini. Loji berkapasiti 150,000 tong sehari (BPD) itu turut dilengkapi kemudahan penyimpanan minyak sebanyak 3 juta meter padu bagi minyak mentah dan produk petroleum yang telah ditapis.

“Ini merupakan pelaburan strategik yang akan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab industri minyak dan gas serantau,” katanya.

Beliau menambah, dengan keluasan 400 ekar di SOGIP, projek ini bukan sahaja menarik pelaburan asing langsung (FDI) bernilai lebih USD3.5 bilion (RM15.5 bilion), malah bakal mewujudkan hampir 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. Lebih 3,000 pekerja dijangka diperlukan sewaktu pembinaan, manakala lebih 1,000 tenaga kerja tetap akan diperlukan selepas loji mula beroperasi.

“Ini adalah perkembangan positif dalam usaha kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Saya menekankan keutamaan pengambilan tenaga kerja tempatan dalam setiap projek dan operasi di negeri ini,” tegasnya.

Selain itu, projek ini turut merangkumi pembangunan jeti, fasiliti pemeringkatan minyak, makmal ujian petroleum, dan bangunan pentadbiran.

Hajiji yakin kajian impak alam sekitar seperti Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dijalankan oleh Petroventure akan memastikan projek ini dibangunkan secara mampan.

Selaras dengan dasar mesra pelabur kerajaan, beliau turut mengalu-alukan kehadiran pelabur asing selain mengutamakan pelabur tempatan.

“Kita memberi keutamaan kepada pelabur tempatan, namun kita juga menerima pelabur-pelabur asing datang kerana ada pelaburan yang mereka mempunyai kepakaran jadi kita terima mereka, yang penting untuk kebaikan negeri kita,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

GRS-PH sebuah kerajaan peduli rakyat – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular