HomeUtamaSaya tidak mahu Muhammad Aidil tercicir pendidikan - Ruslan

Saya tidak mahu Muhammad Aidil tercicir pendidikan – Ruslan

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Beaufort : Selepas tampil membantu pelajar berusia 16 tahun dari Kampung Nabahan Weston di sini membeli barangan sekolah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam sekali lagi mengiringi pelajar berkenaan ke sekolah pada hari pertama semalam.

Pelajar yang dikenali sebagai Muhammad Aidil itu sebelum ini berhenti sekolah tanpa menamatkan Tingkatan Tiga pada tahun lalu.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Ruslan dilihat menyambut ketibaan pelajar berkenaan di jeti Pekan Weston yang sebelum itu menaiki bot dari rumahnya di Kampung Nabahan seawal jam 7 pagi.

Ruslan bersama tenaga pengajar membawa Muhammad Aidil ke sekolah

“Pagi ini (semalam) di jeti pekan Weston, saya menanti seorang anak muda yang bersedia melangkah ke alam persekolahan semula. Muhammad Aidil, yang sebelum ini hampir tercicir daripada pendidikan, kini memulakan perjalanan baharu menuju masa depan yang lebih cerah.

“Dengan penuh semangat, saya membawanya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston, bukan sekadar untuk kembali ke sekolah, tetapi untuk menyalakan harapan bahawa tiada impian yang terlalu jauh untuk digapai.

“Ketibaan kami di sekolah disambut dengan wajah ceria para guru dan pelajar yang memulakan hari pertama sesi persekolahan. Bukan hanya di SMK Weston, tetapi di seluruh Sabah dan khasnya di kawasan Lumadan, ribuan anak muda melangkah ke sekolah hari ini dengan impian dan harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini semalam.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya percaya setiap seorang daripada mereka memiliki potensi besar.

Katanya, kejayaan mereka bukan hanya bermakna untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, masyarakat, dan negeri Sabah.

“Pendidikan adalah jambatan kepada masa depan yang lebih baik. Sebagai pemimpin, saya mahu melihat anak-anak Lumadan bukan sekadar menamatkan sekolah tetapi melangkah ke menara gading, membawa kejayaan kembali ke tanah kelahiran mereka.

“Selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar. Semoga tahun ini menjadi tahun kejayaan yang lebih besar buat anda semua. Tidak lupa juga kepada para pendidik yang sentiasa berusaha mendidik generasi masa depan, selamat bertugas dan terima kasih atas jasa kalian yang tidak ternilai,” katanya.

Jumaat lalu, Ruslan dan isteri berpeluang membawa pelajar berkenaan membeli barangan keperluan sekolah termasuk pakaian, baju dan barangan lain. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua bangunan pusat cucian kereta musnah dalam kebakaran di Inanam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular