HomeUtamaJKNS nafi dakwaan warga emas tidak terima rawatan di Kota Marudu

JKNS nafi dakwaan warga emas tidak terima rawatan di Kota Marudu

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa peka dan prihatin terhadap sebarang aduan berhubung perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan di negeri ini.

Pengarah JKNS Dr Maria Suleiman berkata, pihaknya juga akan sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam yang hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pada masa ini, sistem triage atau penilaian tahap kecemasan atau keterukan keadaan pesakit diamalkan di semua hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Ini adalah bertujuan bagi memastikan pesakit dengan keperluan rawatan segera diberikan keutamaan dan perhatian sewajarnya.

“Sebagai langkah penambahbaikan, JKNS akan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan triage, serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai prosedur rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah video yang tular mengenai perkhidmatan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Kota Marudu pada 6 Februari lalu.

Video itu mendakwa seorang pesakit warga emas dalam keadaan tenat tidak menerima rawatan sewajarnya di Hospital Kota Marudu.

Berikutan itu, Dr Maria berkata, pihaknya mengesahkan pesakit tersebut telah hadir ke Unit Kecemasan dan Trauma sekitar jam 9 hingga 10 pagi, dengan diiringi ahli keluarga.

Katanya, setelah melalui proses pemeriksaan dan penilaian klinikal, pesakit tersebut dikategorikan sebagai Zon Hijau (tidak kritikal) dan disarankan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).

“Keluarga pesakit telah diberikan penjelasan mengenai prosedur rawatan di JPL termasuk proses pendaftaran, dan penggiliran sebelum diberikan rawatan lanjut.

“Sehubungan dengan itu, mereka memilih untuk tidak meneruskan pendaftaran di JPL dan mendapatkan rawatan di fasiliti swasta,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak Hospital Kota Marudu menyedari video tular tersebut sekitar jam 11 pagi pada hari yang sama dan segera menghubungi keluarga pesakit.

Menurutnya, Pengarah Hospital turut berhubung dengan keluarga dan menzahirkan keprihatinan, serta memberi jaminan bahawa pesakit boleh hadir semula sekiranya masih memerlukan rawatan.

“Keluarga pesakit memaklumkan bahawa individu yang merakam dan menularkan video tersebut bukan dalam kalangan mereka dan tidak dikenali.

“Susulan penjelasan yang diberikan, pentadbir laman media sosial yang menyiarkan video tersebut telah menurunkan video tersebut di atas permintaan keluarga pesakit,” katanya.

Justeru itu, Dr Maria berkata, pihaknya menyeru orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Sebarang aduan berkaitan perkhidmatan kesihatan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KKM bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular