HomeUtamaMahkamah Madrid Sahkan Pembatalan Pelantikan Penimbang Tara Kes Sulu

Mahkamah Madrid Sahkan Pembatalan Pelantikan Penimbang Tara Kes Sulu

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kuala Lumpur — Kerajaan Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Tinggi Madrid dan menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambil oleh mahkamah Sepanyol membuktikan kesahihan tindakan negara dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingannya berhubung kes Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Di dalam satu kenyataan, War Room Sekretariat Khas Menangani Isu Tuntutan Pihak Yang Mendakwa Waris Kesultanan Sulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, berkata Mahkamah Keadilan Tinggi Madrid telah mengesahkan keputusan terdahulu yang membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Keputusan ini sekali lagi menegaskan bahawa pelantikan Stampa sebagai penimbang tara adalah tidak sah dan menolak cubaan terbaru pihak penuntut Sulu untuk membatalkan keputusan mahkamah tersebut.

Menurutnya, dalam keputusan bertarikh 14 Februari 2025, Mahkamah Madrid memutuskan untuk mengekalkan keputusan asalnya yang dibuat pada 29 Jun 2021, yang menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat telah dipanggil secara tidak sah ke dalam prosiding timbang tara. Mahkamah juga memerintahkan agar Malaysia dipanggil dengan betul dalam sebarang prosiding baharu berkaitan timbang tara kes ini.

Mahkamah turut mengambil maklum bahawa selepas keputusan pembatalan pada 29 Jun 2021, Stampa tetap meneruskan timbang tara di Paris walaupun telah diperintahkan untuk menghentikannya. Lebih mengejutkan, beliau dilaporkan menerima lebih daripada USD 2.7 juta daripada pihak penuntut Sulu, yang mendapat pembiayaan daripada firma litigasi yang berpangkalan di London, Therium.

Jelas sekreteriat itu lagi, Mahkamah Madrid telah beberapa kali mengarahkan Stampa untuk menghentikan timbang tara, tetapi beliau enggan mematuhi perintah tersebut. Tindakannya untuk memindahkan lokasi timbang tara dari Madrid ke Paris juga didakwa bertujuan untuk mengelak daripada pengawasan mahkamah Sepanyol. Akibatnya, mahkamah Sepanyol telah menjatuhkan sabitan jenayah terhadapnya sebanyak dua kali.

Pada Disember 2023, pihak penuntut Sulu telah memfailkan satu permohonan kepada Mahkamah Keadilan Tinggi Madrid untuk membatalkan keputusan 29 Jun 2021, dengan mendakwa bahawa mahkamah telah dipengaruhi oleh tekanan politik kerajaan Sepanyol.

Namun, dalam keputusan bertarikh 11 Februari 2025, Mahkamah Madrid secara rasmi menolak permohonan tersebut dan mengarahkan pihak penuntut Sulu untuk menanggung kos perbicaraan.

Mahkamah menyatakan bahawa permohonan tersebut “tidak mempunyai tahap bukti minimum yang kukuh dan konsisten”, kerana ia hanya bersandarkan kepada spekulasi daripada satu artikel media, bukan bukti sahih. Mahkamah juga menegaskan bahawa keputusan pembatalan pelantikan Stampa adalah berdasarkan undang-undang dan tidak dipengaruhi oleh sebarang tekanan luar katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambah kenyataan itu lagim Kerajaan Malaysia menyambut baik keputusan ini dan menegaskan bahawa langkah-langkah yang diambil oleh mahkamah Sepanyol membuktikan kesahihan tindakan negara dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingannya. Keputusan ini juga menutup satu lagi ruang bagi pihak penuntut Sulu untuk meneruskan tuntutan yang telah dianggap sebagai “Penipuan Sulu” oleh pihak berkuasa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai kes ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi https://www.malaysia-sulucase.gov.my/ atau menghubungi [email protected].

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular