Oleh FLORIETA DIET
RANAU: Mayat yang ditemui di puncak bukit semasa pencarian mangsa yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus di sini dipercayai rakan mangsa yang masih hilang.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mursalin Mahmud juga mengesahkan mangsa adalah seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun berasal dari Kundasang.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya menambah ibu mangsa telah membuat laporan polis pada 13 Februari lepas mengenai kehilangan mangsa.
Mayat lelaki itu ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 13 Februari lalu di puncak bukit berjaya dikeluarkan dari kawasan itu pada 10.40 malam Ahad.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pasukan SAR mengalami kesukaran untuk membawa turun mayat berkenaan.
“Pasukan SAR dimaklumkan bahawa helikopter polis mengalami masalah teknikal untuk mengambil mangsa di puncak bukit. Usaha membawa keluar mayat dibuat dengan kaedah mengusung turun dari puncak bukit. Jarak yang jauh (15 km), laluan yang sempit dan sukar menyebabkan pasukan penyelamat mengambil masa yang lama.
“Pada jam 10.40 malam, pasukan penyelamat berjaya sampai ke pos kawalan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi SAR Mokthar Azrin Amat, 30, yang masih gagal ditemui hari ini akan disambung esok.
Mangsa dilaporkan keluar memancing pada 3 Februari lalu dan sepatutnya pulang pada 9 Februari lepas.
Pasukan SAR adalah terdiri daripada anggota BBP, pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam dan juga orang kampung.