Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Kejohanan Ragbi International Borneo Sevens 2025 secara rasminya dilancarkan hari ini.
Simbolik pelancaran kejohanan itu dilakukan dengan upacara penanaman sebanyak 20 anak pokok di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC).
Kejohanan berprestij itu akan diadakan pada April 2025 dan dianjurkan oleh Eagles Rugby Club Sandakan (ERC).
Presiden ERC Velayuthan Tan berkata, edisi tahun ini amat istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-20 International Borneo Sevens, meraikan dua dekad kecemerlangan ragbi dan tanggungjawab ekologi.
“Menjelang acara utama akan menumpukan pada kesedaran alam sekitar iaitu penanaman pokok itu melambangkan usaha bersama untuk melindungi alam sekitar sambil mempromosikan semangat kesukanan dan kerjasama komuniti,” katanya pada majlis pelancaran itu.
Pada pelancaran itu turut dihadiri oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Walter Kenson dan wakil-wakil dari penaja utama kejohanan.
Velayuthan juga menjelaskan, dengan komitmen yang kukuh terhadap melindungi kelestarian alam sekitar, International Borneo Sevens 2025 dijangka memberi impak yang berkekalan dan membuktikan bahawa sukan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar boleh berjalan seiring.
Sementara Pengurus RDC Bernadette Joeman berkata, sebanyak enam spesies pokok telah ditanam pada hari pelancaran itu termasuk pokok buah tarap hutan, pokok ara dan bambangan.
Tanaman seperti ini mampu berfungsi sebagai ‘pasaraya hutan hujan’ bagi hidupan liar untuk mendapatkan makanan.