Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) menegaskan komitmennya untuk memperkukuhkan perpaduan etnik di negeri ini dan memelihara kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang keunikan Sabah.

Yang Dipertua MAGEBS Datuk Abdullah Sibil, berkata MAGEBS yang ditubuhkan pada Mei 2017 dan dirasmikan pada 5 Mac 2023, kini menghimpunkan 34 persatuan etnik bumiputera dalam sebuah majlis presiden yang berupaya bersuara sekurang-kurangnya dua kali setahun.
“Sebagai langkah memperkukuhkan kesepaduan ini, kami akan menganjurkan Majlis Makan Malam bertemakan ‘MAGEBS Memartabat Warisan Budaya Etnik’ pada 22 Februari 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Majlis makan malam itu akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin persatuan etnik serta wakil kerajaan dan sektor swasta bagi meningkatkan pemahaman terhadap perjuangan MAGEBS dalam mempertahankan warisan budaya Sabah.
MAGEBS berperanan sebagai platform utama bagi etnik bumiputera Sabah untuk menyatukan kepelbagaian budaya dan memastikan ia terus dihargai serta dilindungi.
Difahamkan 34 etnik ini antara 40 kumpulan etnik bumiputera utama (major ethnic group) di Sabah yang dikenal pasti selain lebih 200 sub-etnik di bawah etnik-etnik utama tersebut.
Menurut Abdullah, meskipun pemimpin dalam gabungan ini berasal daripada pelbagai latar belakang politik, mereka tetap bersatu dalam usaha memelihara adat dan budaya negeri.
“Matlamat utama gabungan ini termasuk memupuk dialog dan kerjasama antara etnik, menganjurkan program pertukaran budaya, membangunkan inisiatif pendidikan, serta berusaha ke arah pembangunan masyarakat yang inklusif,” jelasnya.
Tambah beliau yang juga Presiden Persatuan Bajau Sama Sabah, MAGEBS turut merancang beberapa inisiatif utama seperti penyelidikan dan dokumentasi adat serta budaya bagi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman, pemeliharaan dan pemulihan tapak warisan budaya Sabah, serta memperkasa generasi muda agar mereka lebih menghargai warisan budaya negeri.
Selain itu, katanya, gabungan ini juga menggalakkan hubungan strategik antara pelbagai persatuan dan pihak berkepentingan serta memastikan keberkesanan program-program yang dijalankan melalui penilaian dan pemantauan yang berterusan.
“MAGEBS mengalu-alukan sokongan kerajaan dalam memperuntukkan dana kepada persatuan aktif yang memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya negeri.
“Kami berharap kerajaan dapat memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada usaha MAGEBS, termasuk melalui sokongan kewangan kepada persatuan-persatuan etnik yang komited dalam perjuangan budaya ini,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Makan Malam MAGEBS, Datuk Almudin Kaida yang juga Presiden Persatuan Iranun Sabah, menegaskan bahawa majlis makan malam ini juga akan mempersembahkan pelbagai kebudayaan 34 etnik Sabah, termasuk tarian, nyanyian, dan peragaan pakaian tradisional.
“Majlis yang bermula pada jam 7 malam itu akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri lll, Datuk Ir Shahelmey Yahya, dan kami mengalu-alukan kehadiran rakan media serta pihak berkepentingan untuk menyaksikan keunikan budaya Sabah,” katanya.
Acara berkenaan turut disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Lembaga Kebudayaan Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Kementerian Pelancongan Sabah.
Pada sidang media sama, turut dimaklumkan MAGEBS akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pemimpin-pemimpin persatuan etnik Sabah pada 23 Februari ini bertempat di SICC.
Hadir sama pada sidang media, Bendahari MAGEBS / Ahli Majlis Tertinggi merangkap Presiden Persatuan Cocos Sabah, Alipa Jackery dan Setiausaha Kehormat / Setiausaha Eksekutif MAGEBS merangkap Ahli Majlis Teringgi MAGEBS, Mohammad Zikrun.