Oleh J. EVACHEL JOHN
Ketika ramai meragui kejayaan penanaman bawang merah di Sabah kerana iklim yang dikatakan kurang sesuai, Shahrizal Denci, pengasas Bantu Growers, membuktikan sebaliknya.
Berbekalkan semangat dan keazaman, beliau kini mengusahakan ladang bawang merah seluas lima ekar yang berpotensi menjadi pemacu keterjaminan makanan negara.
“Pada awalnya, ramai yang berkata mustahil. Iklim Malaysia dikatakan tidak sesuai untuk bawang merah. Namun, kami teruskan. Saat hampir berputus asa, usaha kami akhirnya membuahkan hasil,” kata Shahrizal, mengimbas cabaran awal perjalanannya.
Dari 0.5 ekar ke 10 tan hasil tuaian
Dalam tempoh kurang setahun, ladang bawang merah Bantu Growers berkembang daripada hanya 0.5 ekar kepada 5 ekar, dengan sasaran hasil tuaian mencecah 10,000 kilogram (10 tan) dalam masa terdekat.
Bagi Shahrizal, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi langkah pertama ke arah mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang merah.
Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import bawang termasuklah bawang kecil untuk memenuhi keperluan domestik.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022 sahaja, Malaysia mengimport 38.6 ribu tan metrik bawang kecil bernilai RM81 juta. Manakala penggunaan per kapita bawang kecil oleh isi rumah di Malaysia pada tahun 2022 adalah 1.2 kg setahun.
“Walaupun jumlah 10 tan ini masih kecil berbanding jumlah bawang merah (bawang kecil) yang diimport ke Malaysia, ia tetap satu permulaan yang bermakna,” ujarnya, sambil berterima kasih kepada Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) atas sokongan mereka dalam membantu perkembangan usahanya.
Menyedari potensi bawang merah tempatan, Shahrizal berhasrat memperluas ladangnya kepada 100 ekar. Sasarannya adalah untuk memenuhi sekurang-kurangnya satu peratus daripada keperluan bawang merah di Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Bantu Growers juga telah mengambil langkah menembusi pasaran serantau, termasuk Brunei, sekali gus meletakkan Sabah di peta pengeluar bawang merah berkualiti tinggi di Asia Tenggara.
“Untuk mengembangkan perniagaan, kami perlu memperluaskan skala operasi dengan memanfaatkan setiap peluang yang ada. Ini termasuk meluaskan rangkaian perniagaan dan meneroka peluang untuk menembusi pasaran luar,” katanya.
Cabaran: Pendanaan dan teknologi
Di sebalik pencapaian yang diraih dan perancangan rapi yang disusun, Bantu Growers berdepan dengan cabaran besar, iaitu pendanaan.
Menurut Shahrizal, mereka memiliki tenaga kerja, teknik, dan kemahiran, tetapi kekurangan modal menghalang pengembangan operasi ke tahap yang lebih tinggi.
“Cabaran utama kami kini adalah pendanaan. Kami memerlukan sokongan kewangan dan pelaburan sama ada daripada kerajaan, bank, atau agensi berkaitan,” jelasnya.
Selain itu, Bantu Growers juga mengalu-alukan kerjasama dengan institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), terutama dalam aspek penyelidikan ‘tissue culture’ (kultur tisu) yang dijangka dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran bawang merah tempatan.
Sokongan pengguna dan masa depan keterjaminan makanan
Selain isu kewangan, Shahrizal menekankan pentingnya sokongan pengguna Malaysia. Menurutnya, bawang merah tempatan yang dihasilkan oleh Bantu Growers adalah setanding dengan bawang import dari India yang merupakan pengeksport utama bawang ke Malaysia.
“Selain berkualiti, bawang yang dihasilkan oleh Bantu Growers juga berdaya saing dari segi harga. Jika rakyat Malaysia menyokong produk tempatan, kita bukan sahaja membantu petani seperti kami tetapi juga memperkukuhkan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Dengan semangat yang tidak pernah padam, Bantu Growers membawa harapan baru dalam industri pertanian tempatan.
“Kami merancang, bekerja keras, dan bertawakal kepada Allah. Ini adalah perjuangan. Dengan sokongan yang lebih kukuh, siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, Sabah bukan sahaja menjadi pembekal utama bawang merah tempatan, tetapi juga mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya penuh harapan.