Kota Kinabalu : Seorang wanita berdepan detik cemas apabila cincin jenis titanium yang dipakainya tersekat dan mengalami kesakitan pada jari tengah.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapt. (PA) Aizex Junior Simon berkata, wanita berkenaan telah menghubungi Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) Sabah untuk meminta bantuan mengeluarkan cincin yang tersekat di jari pengadu.
Katanya, panggilan kecemasan diterima jam 9.54 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi iaitu di Kampung Darau Lama, Manggatal menggunakan kenderaan penyelamat ringan.
“Setibanya di lokasi, pengadu maklum mengalami kesakitan di jari tengah kerana bengkak akibat daripada cincin yang tersekat di jari tengah beliau hampir lima jam.
“Anggota APM membuat penilaian terhadap jari mangsa. Setelah itu, anggota menggunakan peralatan yang sesuai untuk memotong cincin yang tersekat pada jari mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, cincin jenis titanium berjaya dipotong daripada jari tengah mangsa pada jam 11.18 pagi .
Katanya lagi, mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa proses pemotongan cincin. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH