HomeUtama‘ Derivatives: Beads & Lore’Pameran khas budaya manik Sabah hujung minggu ini

‘ Derivatives: Beads & Lore’Pameran khas budaya manik Sabah hujung minggu ini

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Keunikan budaya manik Sabah, sama ada dalam bentuk tradisional mahupun kontemporari, bakal diketengahkan dalam sebuah pameran khas di Balai Seni Lukis Sabah (Sabah Art Gallery) pada Sabtu dan Ahad ini (22 dan 23 Februari).

Bertemakan ‘Derivatives: Beads & Lore’, pameran pertama seumpamanya yang dibiayai secara persendirian ini menghimpunkan pengkarya seni dari pelbagai latar belakang, menonjolkan manik sebagai elemen penting dalam budaya material Sabah.

Jesse (kanan) dan Ricardo.

Dikurasi oleh Jesse Joy dan Ricardo Unto, pameran ini akan menyangkal tanggapan bahawa seni ketukangan tradisional semakin lenyap akibat kekurangan bahan atau kehilangan teknik pembuatan.

“Pameran ini membuktikan bahawa budaya manik Sabah berevolusi dan boleh berkembang maju melalui kajian, inovasi, serta ekspresi kontemporari,” kata Jesse.

Antara pengkarya seni yang mengambil bahagian ialah Beba dari Whitedaisybybeba, Barrynicker Gary, Erny Espinosa Benihin dari Borutak Borneo, Mariah Doksil, Rasmah Rumambai, Saerah R Kunjan, dan Sang Tukang. Setiap seorang membawa interpretasi unik terhadap budaya manik Sabah.

Pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai hasil seni, termasuk manik bersejarah, perhiasan yang dihasilkan semula serta reka bentuk spekulatif yang memberikan perspektif baharu terhadap warisan budaya Sabah.

Antara tarikan utama pameran ini ialah perhiasan yang direka semula berdasarkan rujukan arkib, objek tradisional berasaskan manik, serta ruang sumber khas yang menyediakan bahan bacaan dan koleksi gambar sejarah untuk rujukan pengunjung.

Selain pameran, bazar mini turut diadakan, memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan hasil seni buatan tangan terus daripada para pengkarya seni.

Sementara itu, Ricardo Unto, selaku kurator bersama, berharap pameran ini dapat memperluas pemahaman masyarakat terhadap seni manik Sabah yang kurang mendapat perhatian berbanding manik Sarawak.

“Pameran ini akan menyingkap kisah di sebalik seni manik Sabah dan mengetengahkan kepentingannya dalam landskap budaya kita,” katanya.

Acara ini juga akan menampilkan sesi perkongsian bersama pengkarya seni, bengkel pembuatan manik, serta perbincangan mengenai sejarah dan naratif spekulatif budaya manik Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Kehadiran pelancong ke Sabah terus meningkat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular