Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah terus memperkukuh peranannya dalam operasi menyelamat di Gunung Kinabalu dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Taman-Taman Sabah (TTS).
Pengarah JBPM Negeri Sabah Jainal @ Zainal Madasin berkata, MOA itu membolehkan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) menggunakan fasiliti di kawasan Gunting Lagadan sebagai tempat tinggal dan pusat operasi.
Katanya, Pasukan MOSAR itu sebelum ini telah bertugas hampir 10 tahun di kawasan berkenaan, namun mereka tidak mempunyai stesen tetap.
“Dengan adanya stesen ini, ia menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia, sekali gus melakar sejarah sebagai pusat operasi menyelamat di gunung yang pertama di dunia dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan.

“MOA ini membolehkan mereka mempunyai kemudahan tempat tinggal dan boleh sentiasa bersedia untuk sebarang keperluan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Jainal berkata, selain MOA yang akan ditanda tangani pada 21 Februari ini, JBPM Sabah juga akan mengadakan program penting pada Sabtu iaitu latihan Pemantapan Pasukan Respons Kecemasan (ERP) yang melibatkan hampir 1,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
“Program ini akan diadakan di Kompleks Sukan Likas bagi memastikan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan,” katanya.
Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Muhammad Taqiuddin Victor Doon, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibnu Sahad Punggak dan Pegawai Perhubungan Awam, Mohd Affendy K.Ramin.
Jainal yang berasal dari Putatan sebelum ini merupakan Pengarah JBPM Negeri Kelantan dan pelantikannya ke jawatan tersebut berkuat kuasa pada 2 Disember 2024.