HomeUtamaSabah Electricity catat kerugian RM30 juta setahun akibat 'curi karan'

Sabah Electricity catat kerugian RM30 juta setahun akibat ‘curi karan’

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu: Sabah Electricity menganggarkan kerugian kira-kira RM30 juta setahun atau mewakili dua peratus daripada kehilangan tenaga dalam sistem grid akibat penyambungan haram elektrik yang masih berlaku di negeri ini.

Berikutan  dengan itu, syarikat utiliti bagi Sabah dan Labuan itu memaklumkan, usaha membanteras penyambungan elektrik secara haram terus menjadi tumpuan dalam usaha mengukuhkan bekalan elektrik di Sabah pada tahun ini.

“Sabah Electricity bertekad untuk meneruskan momentum dalam membanteras sambungan haram di seluruh Sabah. 

“Berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 1,000 operasi dilaksanakan, masing-masing 200 Op Bersepadu dan 800 lagi Op Dalaman. 

“Dianggarkan kadar ‘System Loss’ yang berpunca daripada sambungan haram adalah dua peratus bersamaan dengan RM30 juta kerugian setahun,” menurut kenyataan yang dikemaskini di Facebook Sabah Electricity di sini semalam.

Baru-baru ini, Sabah Electricity dengan kerjasama beberapa agensi luar melaksanakan satu Operasi Bersepadu membanteras kegiatan sambungan haram pada 18 Februari lalu di sekitar ibu negeri.

Antara agensi yang terbabit ialah Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Operasi itu turut disertai sendiri pihak pengurusan Sabah Electricity yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.

Sepanjang operasi itu, kira-kira 50 rumah dikesan memiliki penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan elektrik secara tidak sah selain turut merampas kira-kira 800 kilogram wayar aluminium yang digunakan untuk penyambungan haram.

“Sabah Electricity akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati terbabit dengan kegiatan penyambungan atau pengusikan pepasangan Sabah Electricity.

“Ia selari dengan peruntukan Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik. Seluruh warga Sabah diminta agar dapat melaporkan dan bertindak bersama dalam usaha memberhentikan kegiatan sambungan haram ini,” katanya.

Kegiatan itu katanya adalah satu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 61 (3) Enakmen Bekalan Elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH ELECTRICITY

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga anak Pamela Ling dirakam keterangan, siasatan kehilangan masih berjalan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular