Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Sebahagian pengguna di Kota Kinabalu dan Tuaran dijangka mengalami gangguan bekalan air susulan kerja-kerja pembaikan yang akan dilaksanakan pada 25 Februari ini.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmy Yahya, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa penutupan separa kecemasan akan bermula pada jam 8 pagi bagi membolehkan pembaikan lapan Injap Udara dan satu Pam Air Terawat di Loji Rawatan Air Telibong II.
“Sepanjang tempoh pembaikan, loji ini akan beroperasi pada kapasiti terhad, menghasilkan hanya 75 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding 96 JLH biasa, iaitu pengurangan 21 peratus dalam pengeluaran air terawat,” katanya.
Antara kawasan yang dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara termasuk SK Nexilis, Kibing Solar, UMS, Hospital Likas, 1 Borneo, Kingfisher Sulaman, Ujana Kingfisher, Kingfisher Raja Udang, kawasan Sulaman, Indah Permai, Sepanggar, IKM, ILP, TLDM, SSM, UiTM, Gayang (Tuaran), Nexus, Karambunai, dan Politeknik.
Beliau turut menasihatkan pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan. Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan melaksanakan tindakan mitigasi bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan.
“Pasukan teknikal akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Setelah selesai, kadar kemasukan air ke tangki utama akan ditingkatkan dan isu gangguan di kawasan hujung sistem bekalan seperti Gayang, TLDM, UMS, Hospital Likas, Kingfisher, Menara Kinabalu, dan Taman Cerah dapat dikurangkan,” tambahnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi JANS dan sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian Careline, laman web, atau media sosial rasmi jabatan itu.