Putatan : Penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dijangka akan mula digunakan pada tahun ini bagi mengesan keadaan jalan raya di negeri ini sekaligus mengurangkan kos penyelenggaraan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata. keputusan itu dibuat selepas perjumpaan bersama syarikat konsesi dan jurutera daerah di seluruh negeri pada Rabu lalu.

“Dalam mesyuarat bersama syarikat konsesi dan jurutera daerah, saya telah menyarankan agar kita melihat penggunaan teknologi seperti di negeri Selangor dimana mereka menggunakan teknologi AI untuk membuat ‘scanning’ terhadap keadaan jalan raya.
“Jadi dengan penggunaan teknologi ini mungkin akan lebih menambah efisiensi dalam menunaikan kerja-kerja penyelenggaraan dan dalam jangka masa panjang nanti hanya boleh mengurangkan kos penyelenggaraan. Kita sarankan dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Masjid Nurul Iman Kampung Ketiau dan penyerahan moreh dan kurma kepada masjid serta surau dalam Parlimen Putatan sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan di sini semalam.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan syarikat konsesi dan kontraktor di lantik untuk lebih proaktif melakukan penyelenggaraan di jalan negeri, jalan persekutuan dan jalan majlis daerah bagi menyelak kemalangan berlaku.
Katanya, meskipun berdepan kekangan kewangan, Jabatan Kerja Raya akan berusaha menyelesaikan isu jalan rosak di negeri ini dengan segera.
“Kita menyedari bahawa ada kekangan dari sudut peruntukan kewangan sebagaimana yang sering saya jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Kekangan peruntukan kewangan menyebabkan kita mempunyai jalan-jalan yang sepatutnya diselenggara tertunda disebabkan oleh kekurangan peruntukan tersebut.
“Namun dengan kekangan kewangan yang ada tidak bermakna bahawa kerja penyelenggaraan tidak dapat dibuat dengan baik, terutama apabila wujudnya lubang-lubang jalan yang mengundang risiko besar kepada pengguna jalan raya yang sepatutnya ditangani dengan kadar yang pantas.
“Sebagai contoh dalam kerja-kerja penyelenggaraan rutin pihak konsesi dan juga JKR daerah mempunyai tenaga kerja yang sepatutnya melakukan rondaan dan sebagainya maka itu harus diperkemaskan, dipergiatkan dan yang paling penting tidak akan diambil dengan kadar yang pantas,” katanya. – SABAH MEDIA